Acer Swift 7 Dengan Kemaskini Terbaru Kini Di Pasaran Malaysia – Bermula Dari RM5999

Acer Swift 7 Dengan Kemaskini Terbaru Kini Di Pasaran Malaysia – Bermula Dari RM5999

Diterbitkan pada June 27, 2019 oleh .

Komputer riba Acer Swift 7 boleh dikatakan salah satu daripada komputer riba 14 inci yang paling nipis yang dikeluarkan oleh Acer. Ia adalah sebuah komputer riba premium yang bukan sahaja mempunyai rekaan yang menawan, tetapi juga mempunyai spesifikasi yang membolehkannya menjalankan pelbagai tugas dimana sahaja anda berada.

Terkini, Acer Malaysia telah mengumumkan bahawa model Acer Swift 7 yang dikemaskini sudahpun tiba di pasaran Malaysia, dan akan hadir dengan kemaskini yang membuatkannya lebih nipis dari sebelum ini.

Bermula dengan spesifikasi dalaman, pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan model dengan CPU Intel Core i5 ataupun Intel Core i7 generasi kelapan, memori DDR4 sebanyak 8GB bersama-sama dengan storan SSD PCIe NVMe sebesar 512GB.

Acer Swift 7 ini juga telah diperbaharui dengan rekaan yang lebih ringan, dimana jumlah beratnya hanyalah sebanyak 890g sahaja, manakala paparannya juga mempunyai rekaan hampir nirbingkai, dimana paparannya menggunakan 92 peratus daripada bingkai tersebut.

Untuk menghasilkan rekaan paparan hampir nirbingkai ini, Acer turut mengubah lokasi webcam ke bahagian papan kekunci, dimana pengguna perlu mengaktifkannya secara fizikal.

Bukan itu sahaja, paparan tersebut juga dilitupi dengan skrin Gorilla Glass 6, manakala bahagian pad sesentuh menggunakan Gorilla Glass 3. Bateri komputer riba ini juga telah diperbaiki, dengan Acer mengatakan bahawa Swift 7 ini mampu berfungsi selama 12 jam dengan satu pengecasan penuh.

Acer Malaysia mengatakan lagi bahawa komputer riba Acer Swift 7 ini sudahpun boleh dibeli melalui pengedar-pengedar sah Acer dan juga kedai atas talian.

Model Acer Swift 7 dengan CPU Intel Core i5 dijual pada harga RM5999, manakala model dengan CPU Intel Core i7 berharga RM7599.


TIPS & ULASAN