Carian
Google Pixel 4 Dilaporkan Akan Menyokong Penggambaran Dengan Ruang Warna P3
June 25, 2019 Arib Ismail

Google Pixel sedia menghasilkan penggambaran berkualiti tinggi, namun warnanya hanya terhad kepada sRGB sahaja. Perkara ini mungkin akan berubah pada Google Pixel 4, yang mana dijangka akan menyokong penggambaran P3 dengan sokongan gamut warna yang lebih meluas.

Ia dilaporkan oleh cstark27 iaitu pembangun yang aktif dalam pembangunan Google Camera yang diolah. Beliau menjumpai sebuah kod di dalam versi Google Camera terbaru, yang mana membolehkan pengguna mengaktifkan penggambaran dengan sokongan warna P3.

Melalui sokongan ini, pengguna Google Pixel 4 dijangka dapat menikmati lebih 25% warna pada hasilan gambar apabila dibandingkan dengan sRGB. Untuk memudahkan anda melihat perbezaannya, anda boleh meneliti warna merah pada gambar bunga di bawah.



Kebolehan penggambaran P3 ini adalah sesuatu yang diminta oleh pengguna Android kerana Android tidak menyokong penggambaran P3 ini secara natif. Berbeza dengan iPhone, Apple telah sedia memperkenalkannya sejak perkenalan iPhone 7 pada tahun 2016, melalui kebolehan penggambaran dan teknologi skrin yang mampu memaparkan warna P3.

Namun dengan laporan yang kedengaran ini, kita akhirnya mungkin dapat menikmati penggambaran P3 ini pada peranti Android secara natif. Ia dijangka akan diperkenalkan kepada Google Pixel 4 terlebih dahulu, yang mana bakal diumumkan pada sekitar Oktober tahun ini.

Komen