Vivo Memperkenalkan Peranti Dengan Teknologi 5G Mereka – Vivo iQOO 5G Dan Kaca Mata AR

Vivo Memperkenalkan Peranti Dengan Teknologi 5G Mereka – Vivo iQOO 5G Dan Kaca Mata AR

Diterbitkan pada June 26, 2019 oleh .

Hari ini di acara MWC Shanghai 2019, Vivo telah memperkenalkan teknologi 5G mereka yang tersendiri. Dengan teknologi ini, akhirnya Vivo dilihat telah bersedia untuk melangkah ke era rangkaian baharu yang bukan sahaja memfokuskan kelajuan Internet – tetapi lebih kepada inovasi yang pelbagai. Di MWC Shanghai 2019 ini, Vivo telah memperlihatkan Vivo iQOO 5G – iaitu peranti mercu permua 5G mereka yang dijana Snapdragon 855. Peranti ini menggunakan modem Snapdragon X50, yang mana cip ini adalah cip berasingan dan tidak terbina pada cip pemprosesan. Peranti ini akan sedia terjual bermula pada suku ketiga tahun 2019.

Bersama-sama dengan peranti Vivo iQOO 5G ini, Vivo juga turut memperkenalkan perkhidmatan 5G mereka. Perkhidmatan ini boleh digunakan kepada telefon pintar, kaca mata realiti terimbuh, jam tangan pintar, set fon kepala pintar dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, dengan inovasi ini – Vivo turut mempunyai 5G Cloud Game (penstriman permainan 5G), 5G Screen Mirroring dan juga 5G EasyShare.

Dalam kategori 5G lagi, Vivo turut memperlihatkan kaca mata AR mereka – Vivo AR Glass. Fokus kaca mata realiti terimbuh ini adalah untuk permua, pejabat mudah alih, teater 5G, pengecaman wajah dan juga pengecaman objek. Contoh penggunaan 5G pada kaca mata ini adalah peranti pintar 5G akan bertindak sebagai konsol apabila bermain permua dan akan berubah ke papan kekunci AR apabila tetapan/mod pejabat diaktifkan.

Buat masa ini, ia sekadar diumumkan secara rasminya sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah akan dipasarkan kepada umum. Memandangkan rangkaian 5G masih pada peringkat awal, maka ia mungkin dipasarkan di beberapa lokasi terpilih sahaja secara komersil apabila ia tersedia kelak.


TIPS & ULASAN