Pejabat Paten dan Tanda Dagangan A.S. hari ini telah mengesahkan paten terbaru Apple yang memperlihatkan tali jam Apple Watch disertakan dengan keupayaan kamera. Perkara ini membolehkan Apple Watch mengambil gambar dan video, dengan menjadikan skrin Apple Watch ini dijadikan sebagai paparan kamera.
Paten ini turut memperlihatkan tali jam ini direka dengan binaan yang fleksibel, dengan membenarkan pengguna mengendur atau melipat tali jam ini untuk mengubah kedudukan kamera. Apple juga telah menyajikan beberapa idea melalui paten ini, dengan membolehkan pengguna membawa kamera ke posisi berlainan dengan menarik tali jam ini.
Dengan perletakkan kamera, ia membolehkan pengguna menikmati fungsi tangkapan gambar asas, yang mana mungkin berguna ketika di dalam kecemasan. Ia juga mungkin dapat membenarkan pengguna menikmati panggilan FaceTime, terutama ketika telefon tidak berada di sisi pengguna.
Apple sentiasa hadir dengan paten terbaru pada hampir setiap minggu, namun tidak kesemuanya dapat direalisasikan sebagai produk pengguna. Dengan bingkai paparan Apple Watch yang semakin mengecil, perletakkan kamera pada tali jam ini mungkin dapat membantu untuk memperluaskan fungsi jam tangan pintar ini.