Carian
Acer Predator Triton 900 Kini Di Pasaran Malaysia – Komputer Riba Gaming Gergasi Pada Harga RM15999
June 26, 2019 Nazrin

Diperkenalkan sewaktu acara IFA di Berlin pada tahun lepas, Acer Predator Triton 900 boleh dikatakan diantara komputer riba gaming yang paling berkuasa oleh Acer setakat ini.

Ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 17.3 inci dengan resolusi 4K dan dilengkapi dengan spesifikasi dalaman yang sangat berkuasa, seperti CPU Intel Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD PCIe NVMe sebesar 1TB.

 

Acer Predator Triton 900 ini juga dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 yang sangat berkuasa dan mampu menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi 4K tanpa masalah.

 

Apa yang membuatkan komputer riba Predator Triton 900 ini berbeza dengan komputer-komputer riba lain ialah ciri engsel yang hadir pada paparannya yang membolehkannya digunakan didalam empat mod yang berbeza.

  • Mod Laptop – Mod tradisional semua laptop yang boleh digunakan untuk pelbagai tugasan dan aktiviti komputer
  • Mod Engsel – Paparan skrin boleh dikedepankan untuk menggunakan skrin sesentuh dengan lebih mudah
  • Mod Paparan – Mod perkongsian paparan jika anda menyambungkan Triton 900 kepada paparan luaran yang lebih besar
  • Mod Tablet – Gunakan Predator Triton 900 ini sebagai sebuah tablet gaming yang berkuasa

Bukan itu sahaja, Acer Predator Triton 900 ini juga hadir dengan sistem papan kekunci mekanikal yang cukup selesa untuk digunakan, dan juga butang-butang khusus untuk kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi keempat dan juga perisian PredatorSense yang boleh digunakan untuk melewahjam (overclock) CPU dan GPU komputer riba ini.

Menurut Acer Malaysia, Acer Predator Triton 900 ini sudahpun memasuki pasaran tempatan pada harga RM15999, dan setiap pembelian komputer riba gaming yang berkuasa ini akan hadir dengan waranti dua tahun yang akan meliputi isu kerosakan dan juga kecurian.

Komen