Carian
OPPO Memperkenalkan Teknologi Kamera Di Bawah Skrin Pertama Di Dunia
June 26, 2019 Arib Ismail

Rekaan peranti skrin penuh pada sebelum ini sering dibelenggu dengan rekaan takuk dan bahagian mekanikal yang bergerak. Namun solusi untuk mencapai rekaan skrin sepenuhnya sudah semakin hampir, dengan perkenalan teknologi Under-Screen Camera (USC) daripada OPPO.

Teknologi ini telah diperlihatkan pada acara MWC Shanghai 2019, dengan memperlihatkan ia ditempatkan pada bahagian tengah atas peranti. OPPO mengatakan peranti dengan kamera di bawah skrin ini menggunakan bahan binaan khas bagi membolehkan cahaya memasuki kamera. Apa yang menarik, bahagian kamera ini juga bakal berfungsi dengan kawalan skrin sentuh seperti peranti-peranti yang lain.

Oppo Kamera Skrin

OPPO sedia mengetahui batasan teknologi ini, iaitu akan mengurangkan kualiti kamera hadapan. Namun OPPO telah mengatasinya dengan penggunaan AI untuk mengurangkan kesan kabus, sinaran, atau gangguan warna yang bakal berlaku pada teknologi ini. Hasilnya, ia akan berpadanan dengan kualiti swafoto seperti yang ditawarkan pada peranti yang mempunyai kamera hadapan fizikal.

OPPO mengatakan teknologi ini akan hadir pada peranti keluaran mereka dalam beberapa tempoh akan datang. OPPO sering menghasilkan prototaip peranti yang menarik, dan menyertakannya pada produk mereka apabila ia sedia digunakan oleh pengguna.

Komen