Cari @ Amanz

Kaca mata realiti terimbuh bukanlah sesuatu yang baru. Facebook sudah merancang untuk menghasilkannya dan kemudian Apple turut dilaporkan akan hadir dengan sepasang kaca mata realiti terimbuh pada tahun hadapan. Tetapi produk sebenar masih tidak banyak di dunia ini. Kali terakhir kami cuba adalah di acara MWC Barcelona – VUZIX M300XL.

Microsoft dengan Holo Lens adalah set kepala, Oculus pula adalah set kepala realiti maya dan Google Daydream pula hanya realiti maya dengan pengalaman yang lebih imersif. Sehinggalah hari ini di MWC Shanghai 2019, Vivo telah melancarkan kaca mata realiti terimbuh mereka – Vivo AR Glass. Kaca mata ini tidak menggunakan banyak kabel sambungan dan kemudia menyokong teknologi 5G. Bagaimanalah ia berfungsi? Ini adalah artikel pandang pertama kami.

Tujuan

Sebelum kami ceritakan pengalaman penggunaan kaca mata realiti terimbuh daripada Vivo ini, akan kami kongsikan tujuan ia diwujudkan. Menurut Vivo, kaca mata ini adalah seolah pengganti kepada skrin peranti pintar. Contohnya untuk kegunaan pejabat, jika menggunakan telefon pintar – pengguna perlu menaip dan menggunakan skrin secara serentak dan kadangkala ia meletihkan mata dan juga jari. Jadi, dengan kaca mata ini – ia adalah skrin kedua yang lebih realistik dan peranti adalah sebagai alat kawalan.

Pengalaman penggunaan adalah lebih imersif dan akan akan tidak berasa pening kepala seakan set kepala realiti maya. Jika realiti maya ia akan meletakkan pengguna di dalam dunia maya, manakala realiti terimbuh segala kandungan adalah seakan terapung di dunia realiti. Bayangkan sahaja menggunakan cermin mata sedia ada, tetapi terdapat kandungan peranti pintar terpapar dan masih boleh lihat dunia realiti.

Melalui kaca mata ini, ia juga akan menggunakan teknologi 5G untuk rangkaian Internet yang pantas dan tiada latensi. Internet yang pantas adalah untuk kandungan penstriman seperti teater realiti terimbuh dan tiada latensi pula adalah untuk sambungan kaca mata ke telefon pintar secara nirwayar.

Fungsi

Terdapat beberapa fungsi utama yang Vivo tekankan terhadap kaca mata realiti terimbuh mereka ini. Sepatutnya terdapat sekitar lima fungsi utama yang boleh diimplementasikan, namun percubaan kami tadi hanya tiga fungsi sahaja.

Pejabat Mudah Alih

Dengan kaca mata realiti terimbuh, Vivo mensasarkan penggunaan di pejabat atau pejabat di rumah. Melaluinya, pengguna boleh melihat kandungan tugas-tugasan seperti emel atau membalas mesej sambil melihat dunia realiti. Atas percubaan kami tadi, hanya terdapat satu aplikasi emel dipaparkan dan ia memakan hampir 90% pandangan realiti. Mungkin aplikasi emel ini perlu mempunyai layat belakang yang lutsinar untuk pengalaman yang lebih baik.

Kawalan pula adalah menggunakan telefon pintar Vivo sebagai pad sesentuh. Kawalan lain pula adalah melalui papan kekunci Bluetooth Logitech untuk tujuan menaip. Menurut Vivo tadi, pejabat mudah alih ini akan mempunyai tetapan khas yang boleh berubah-ubah secara automatik mengikut situasi. Jika di rumah ia akan menjadi mod permainan dan jika di pejabat ia akan menjadi mod pejabat.

Pengecaman Wajah & Pengecaman Objek

Melalui kamera dan sensor yang terbina pada kaca mata ini, ia boleh mengecam pelbagai perkara. Sasaran Vivo adalah pengecaman manusia wajah dan objek. Paparan kemudian akan dipaparkan kepada lensa kaca mata, sambil mata pengguna memandang objek atau wajah seseorang untuk mengecamnya. Jadi, konsepnya adalah seakan mata pengguna mampu menjadi Google Lens tersendiri.

Di acara MWC tadi, Vivo hanya memperlihatkan fungsi pengecaman objek sahaja. Terdapat beberapa objek seperti set kepala VR, anak patung, Vivo iQOO dan juga gimbal di rak. Kemudian melalui kaca mata realiti terimbuh Vivo ini, ia mampu mengecam setiap objek. Konsep yang sangat sama dengan Google Lens, yang mana kamera akan mengimbas sesuatu objek dan mencari di Internet. Cuma teknologi Vivo ini, ia memaparkan dengan spesifikasi, ciri dan juga fungsi objek tersebut.

Pada anak patung, ia akan terus memaparkan video animasi maskot Vivo. Vivo tidak menceritakan dengan jelas, di mana 5G mereka di sini. Berkemungkinan besar ia adalah rangkaian Internet untuk mencari data-data objek yang dikesani oleh kaca mata tersebut. Untuk pengecaman wajah juga, Vivo tidak menjelaskannya. tetapi ia mungkin adalah untuk kerja-kerja pejabat atau untuk pihak berkuasa – bagi mengesani identiti seseorang.

Permainan AR

Tidak menarik kalau tidak ada permainan dengan teknologi yang hebat. Dalam unit demo ini, kami dapat mencuba permainan angkasa yang mana kita sebagai pengguna mengawal jet dengan senjata untuk menembak jet musuh. Cara kawalan adalah menggunakan kepala untuk tuju ke musuh dan peranti Vivo untuk menembak.

Permainan yang ringkas dan boleh dikatakan ketagih. Tetapi permainan ini hanya untuk demonstrasi sahaja, ia mungkin tidak akan menjadi realiti. Kemudian apa yang menarik dengan permainan ini adalah, latar belakang adalah dunia realiti yang dilihat secara terus dari kaca mata. Jet dan angkasa adalah seakan hologram di dunia realiti. Jadi semasa bermain permainan ini kami masih boleh melihat dunia realiti.

Mungkin dengan konsep sebegini, bermain permainan tidak akan terlalu leka dan lupa akan realiti.

Rekaan

Vivo AR Glass ini menggunakan rekaan yang mirip dengan sebuah set kepala VR. Cuma ia kelihatan sangat nipis dan berbentuk seakan kaca mata. Tetapi kaca mata sebegini adalah masuk akal, kerana jika menggunakan rekaan kaca mata biasa – ia akan lebih kepada kaca mata pintar yang hanya mempunyai paparan sahaja. Kaca mata Vivo ini sekurang-kurangnya mempunyai beberapa sensor untuk kawalan yang baik.

Di hadapan kelihatan seperti kaca mata dengan bingkai yang tebal. Kemudian di sisi juga kelihatan begitu tebal dan sukar untuk dikatakan ini adalah kaca mata. Di bahagian atas pula terdapat satu bahagian yang menyimpan komponen utama dan kekisi lubang untuk mengeluarkan haba. Di bingkai bahagian kiri terdapat kabel USB-C yang terbina yang wajib disambungkan kepada peranti Vivo untuk kuasa. Ini kerana kaca mata ini tidak mempunyai bateri terbina. Jadi secara tidak langsung menjadikan pengalaman penggunaan sedikit kurang memuaskan kerana terdapat kabel panjang yang menjalar.

Di bahagian dalam di kawasan lensa kaca mata terdapat sepasang lagi ‘lensa’ yang bertindak sebagai kaca untuk memaparkan paparan yang dipancarkan dari bahagian komponen utama. Bahan binaan pula terasa sedikit premium walaupun dilihat diperbuat daripada plastik sahaja. Ia juga boleh dikatakan mempunyai rekaan yang futuristik.

Pendapat

Mengecewakan kerana menurut Vivo teknologi ini hanya menyokong peranti pintar mereka sahaja. Kemudian, kabel menjalar tersebut mungkin tidak boleh dibuang kerana ingin menggunakan kuasa daripada telefon Vivo. Jika menggunakan bateri terbina ia mungkin akan memanas dengan lebih dahsyat, kerana keadaan menggunakan kabel sekarang pun sudah panas yang melampau.

Penggunaan teknologi 5G masih tidak jelas. Mereka mensasarkan ia boleh digunakan secara nirwayar untuk kandungan yang lancar dipaparkan atau distrim dan juga kawalan hampir tiada latensi. Tetapi apabila perlukan kabel untuk kuasa, ia kelihatan seakan teknologi casting yang Internet 8Mbps juga sudah cukup. Tidak lupa juga kegunaan pejabat mereka ini kelihatan masih tidak efisien, mungkin kelak apabila telefon pintar tidak lagi relevan – kaca mata ini boleh menjadi pengganti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd