Pandang Pertama: ZTE Axon 10 Pro 5G – Peranti 5G Nipis Dan Premium
ZTE

Pandang Pertama: ZTE Axon 10 Pro 5G – Peranti 5G Nipis Dan Premium

Diterbitkan pada June 28, 2019 oleh .

ZTE Axon adalah siri peranti mercu mereka. Kali terakhir ia dilancarkan adalah tahun lepas melalui ZTE Axon 9 Pro, yang mana terus melangkaui nama ZTE Axon 8 – selepas ZTE Axon 7. Bercakap mengenai ZTE Axon 7, ia adalah antara peranti mercu ZTE yang popular – kerana sistem audionya yang baik. ZTE Axon 7 juga merupakan peranti mercu ZTE terakhir yang memasuki pasaran tempatan.

Kini, dengan era 5G yang semakin mengembang – ZTE juga tidak terkecuali untuk hadir dengan teknologi 5G tersendiri. Salah satu daripadanya adalah ZTE Axon 10 Pro 5G. Iaitu peranti mercu ZTE yang dijana dengan Snapdragon 855 dan dipadankan dengan cip modem Snapdragon X50. Jadi, apa yang menarik dengan peranti ini? Jom baca sehingga tamat artikel pandang pertama ini.

Spesifikasi

Peranti ini menggunakan skrin 6.47-inci AMOLED dengan resolusi FHD+ dan panelnya melengkung di kedua-dua sisi seakan OnePlus 7 Pro – tetapi lebih nipis. Ia dijana dengan cip pemproses Snapdragon 855 dan dipadankan dengan cip modem Snapdragon X50. Untuk memori, ia menggunakan 6GB RAM dan storan dalaman hanya 128GB. Seperti peranti-peranti Axon sebelum ini, Axon 10 Pro 5G turut memfokuskan audio dengan mempunyai sokongan DTS:X Ultra dan Hi-Fi pada pembesar suara peranti ini.

Untuk kamera, peranti ini menggunakan tetapan tri-lensa yang menggabungkan lensa 48MP + 20MP sudut-lebar 125 darjah dan 8MP sensor telefoto yang boleh dizoom sejauh 3x. Bateri peranti ini pula adalah 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas QC4+. Peranti ini menjalankan sistem operasi MiFavor 9.1 yang berasaskan Android 9.0 Pie, yang dilihat lebih kemas, mesra pengguna dan ringan.

Rekaan

ZTE Axon 10 Pro 5G masih menggunakan skrin bertakuk kecil. Akan tetapi, takuk ini bukan berada di luar seperti banyak peranti lain. Ia berada di dalam skrin seperti Samsung Galaxy S10. Ini agak menarik, kerana rekaan kelihatan lebih kemas dan cantik. Cuma kekurangan rekaan ini adalah apabila bahagian kamera calar, seluruh skrin perlu ditukar. Di atas kamera swafoto ini pula terletaknya earpiece yang turut berfungsi sebagai pembesar suara kedua yang menjadikan peranti ini mempunyai pembesar suara stereo.

This slideshow requires JavaScript.

Di bahagian bawah, terdapat satu kekisi pembesar suara, slot kad sim dan juga port USB-C. Di sisi kanan adalah butang kuasa dengan kemasan titik berwarna merah yang mempunyai kesan nyalaan jika terkena pancaran cahaya. Butang aras suara juga berada di sisi kanan dan sisi kiri adalah bersih tanpa sebarang butang langsung. Di bahagian atas hanya terdapat satu mikrofon, kemudian di belakang adalah lokasi tri-kamera dan penjenamaan ZTE. Panel belakang peranti ini adalah kaca dan tidak menggunakan rekaan warna cerun seperti banyak peranti dari China yang lain. Ia hanya menggunakan warna biru yang berkilat.

Pengalaman Penggunaan

Saya hanya dapat mencuba peranti ini di booth ZTE dalam tempoh yang sangat singkat. Apa yang dapat saya katakan adalah, peranti ini terasa premium dan sungguh selesa di tangan. Skrin melengkung dilihat kemas dan selesa apabila digunakan untuk menyentuh skrin. MiFavor 9.1 yang dijalankan pada peranti ini berfungsi dengan lancar dan tidak mempunyai sebarang masalah lengah masa atau animasi yang perlahan.

Prestasi pada pelancar MiFavor ini terasa seakan menggunakan OnePlus 7 Pro yang pantas. Fokus ZTE pada peranti ini adalah rekaan dan sambungan 5G. ZTE mendakwa ia menggunakan skrin dengan dagu yang ternipis. Namun jika dibandingkan dengan OnePlus 7 Pro, peranti ZTE ini dilihat mempunyai dagu yang tebal. Warna skrin juga sangat cantik walaupun hanya menyokong paparan FHD+. ZTE dilihat turut membuat demonstrasi penstriman video 4K tanpa sebarang masalah. Agak mengejutkan yang hasil dynamic range skrin ini sungguh cantik. Warna terang dan tajam dan juga memuaskan untuk menonton sesuatu.

Tidak banyak yang dapat saya cuba, tetapi syukur dapat menguji kameranya buat seketika. Saya tidak berjaya memindahkan hasil gamabr yang diambil, kerana peranti ini mempunyai pengehadan untuk membuat sebarang pemindahan fail dari satu peranti ke peranti lain. Tetapi apa yang menarik adalah kamera swafoto yang dilihat agak cantik dan kemas. Kemudian, kamera belakang yang dilihat mempunyai potensi yang sangat baik.

This slideshow requires JavaScript.

Mod potret yang lebih baik dan cantik. Hasil ambil gambar mod biasa yang memuaskan dan juga mempunyai butiran yang baik. Lensa zoom adalah mirip OnePlus 7 Pro yang hanya menyokong 3x sahaja. Sayang sekali hasil zoom dan gambar ultra-lebat dilihat mempunyai butiran yang kurang memuaskan dan warna yang kurang menyerlah. Mungkin ZTE akan mengemaskini peranti ini dengan aplikasi kamera yang lebih baik.

5G, Gimik Atau Tidak?

Saya pernah melaporkan yang ZTE membuat ujian muat turun pada peranti ini dan berjaya mencapai muat turun permua 1.6GB dalam masa 20 saat sahaja. Sayang sekali, unit demonstrasi ini mempunyai rangkaian 5G yang telah dihadkan dan terkawal. Unit yang saya uji tidak mempunyai kepantasan 5G.

Salah satu demonstrasi yang ZTE pamerkan adalah kemampuan penstriman video 4K dan 8K. Dengan teknologi 5G mereka ini, peranti yang menggunakan skrin FHD+ dilihat tidak mempunyai masalah untuk menstrim fail video sehingga 8K. Cuma ia tidak akan mempunyai pengalaman menonton 4K/8K yang sebenar. Ia hanya fail video yang bersaiz besar dan distrim pada peranti dengan kelajuan yang pantas.

This slideshow requires JavaScript.

Kemudian, ZTE turut mempamerkan penstriman permainan mereka yang turut menggunakan 5G. Demonstrasi yang mereka tunjukkan adalah, permainan video itu tidak dipasang pada peranti ZTE Axon 10 Pro 5G – tetapi distrim secara terus dari pelayan. Kawalan pula adalah seperti Vivo 5G Cloud Gaming, yang mana alat kawalan perlu ditambat pada peranti dan bukan seperti Google Stadia yang ditambat terus pada enjin penstriman permainan.

5G ini masih baru lagi, jadi tidak kesemuanya tersedia untuk terus digunakan oleh orang awam. Seperti peranti ZTE ini, ia hanya terhad untuk pasaran China melalui pelan data daripada China Unicom. Potensi 5G pada sesebuah peranti pintar adalah banyak dan masih awal.


TIPS & ULASAN