Cari @ Amanz

iOS 13 Membolehkan Anda Membuang Geolokasi Pada Gambar Sebelum Ia Dikongsikan

Link Copied!

Salah satu perkara positif daripada penggunaan iOS adalah kawalan privasi yang lebih menyeluruh. Melalui iOS 13, Apple telah memperluaskan kawalan ini pada gambar, yang mana maklumat lokasinya dapat dibuang sebelum ia dikongsi kepada pengguna yang lain.

Pada sebelum ini, apabila pengguna menghantar sesuatu gambar, maklumat seperti koordinat melalui data EXIF turut disertakan bersama-sama gambar yang dihantar. Perkara ini sekaligus membolehkan seseorang individu dapat melihat lokasi gambar tersebut, dan kemudiannya melakukan sejumlah perkara yang tidak diingini melaluinya.

Kebolehan untuk membuang data geolokasi ini sebenarnya boleh dilakukan pada iOS terdahulu, namun ia agak sedikit melecehkan. Pengguna terpaksa melakukan sejumlah perkara seperti mematikan ‘Location Services’, mengambil tangkapan skrin, atau membuat lokasi gambar ini melalui penggunaan aplikasi pihak ketiga.

Pada iOS 13, kesemua perkara ini telah dipermudahkan dengan cara yang lebih ringkas. Anda hanya perlu memilih sejumlah gambar yang ingin dikongsi > klik butang share > tekan butang ‘Options’ > dan tutup butang Include ‘Location’.

Dengan kehadiran fungsi ini, anda tidak perlu lagi risau untuk berkongsi sesuatu gambar ke media sosial atau pihak lain, terutama pada gambar yang diambil pada kediaman atau ditempat-tempat yang dirahsiakan. Ia bukan sahaja memberi privasi kepada pengguna, malah turut memberi lebih jaminan kepada keselamatan anda.

Fungsi ini bakal disertakan pada iOS 13 versi akhir yang dijangka akan ditawarkan bermula pertengahan September. Ia akan diedarkan kepada peranti iOS dengan 2GB RAM ke atas, seperti iPhone 6s, iPhone SE, dan iPhone yang lebih terkini.


Komen ()