Singapura ialah negara pulau yang kecil tetapi ia yang pertama di rantau ini menerima Apple Store yang terletak di Orchard Road. Jumlah Apple Store di Singapura bakal meningkat sekali ganda apabila kedai kedua dibuka di Jewel Changi pda 13 Julai hadapan. Pengumuman dilakukan menerusi laman rasmi Apple Singapura pagi tadi.
Acara pembukaan akan berlangsung pada jam 10 pagi. Jewel Changi ialah pusat membeli belah yang dibuka bersebelahan Lapangan Terbang Changi dan ia mempunyai rekaan lestari seperti mengitar semula air hujan yang digunakan pada air terjun dalam bangunan tertinggi di dunia. Ini bukan Apple Store terakhir di Singapura, sebuah lagi kedai sedang dalam proses pembinaan di Marina Bay Sands.
Selain Singapura, Thailand juga mempunyai sebuah Apple Store di rantau ini. Tiada ura-ura ia akan dibuka di Malaysia dalam masa terdekat.