Huawei dijangka akan melancarkan siri Huawei Mate 30 pada tahun ini, yang mana mungkin bakal diperkenalkan pada sekitar Oktober. Namun di saat mereka sedang membangunkan peranti ini, beberapa rekaannya telah tertiris bagi membolehkan anda mendapatkan idea untuk rekaan akhir peranti ini.
Sebuah lapisan kaca yang dipercayai untuk binaan Huawei Mate 30 Pro telah tertiris ke arena web, yang mana dikongsikan oleh salah seorang pengguna di Weibo. Lapisan kaca ini masih memaparkan penjenamaan ‘Leica’ seperti siri Mate sebelum ini, sekaligus memberi petanda bahawa kerjasama dengan pengeluar kamera ini masih diteruskan.
Apa yang menarik lagi, ia juga memperlihatkan rekaan kamera dalam bentuk membulat, berbanding rekaan berpetak pada siri Huawei Mate 20. Ia dipercayai akan hadir dengan kebolehan empat kamera seperti Huawei P30 Pro, bersama perletakkan lampu LED pada bahagian bawah kamera ini. Untuk memudahkan anda mendapatkan gambarannya, imej pengolokan daripada Slashleaks ini mungkin dapat membantu anda membayangkan rekaan akhir peranti ini.
Dengan penggunaan rekaan membulat, ia mungkin dapat lari daripada rekaan berpetak yang sedia ditawarkan pada Huawei Mate 20 Pro. Rekaan berpetak ini dijangka akan memberi inspirasi kepada rekaan Google Pixel 4 dan iPhone 2019, yang mana mungkin akan mengurangkan nilai eksklusif sekiranya ia dikekalkan pada siri Huawei Mate 30.
Walau bagaimanapun, rekaan lapisan kaca ini hanya sekadar binaan yang tertiris, dan tidak dapat disahkan sama ada ia benar atau sekadar rekaan konsep sahaja. Namun apa yang pasti, Huawei Mate 30 Pro akan memberi keupayaan yang lebih baik berbanding Huawei P30 Pro, terutama dari segi penggambaran malam dan kebolehan zoom optikal.