Pada minggu lepas, kita telah melihat beberapa penjual mengumumkan yang mana mereka akan memberikan wang kembali untuk peranti Huawei sekiranya beberapa aplikasi berhenti beroperasi. Terkini, mengikut jejak langkah sama, pihak Shopee turut mengumumkan perkara sama.
Dinamakan sebagai App Protection Warranty, melaluinya pihak Shopee memberikan jaminan wang kembali sepenuhnya sekiranya sebarang aplikasi seperti Google Play Store, GMail, Google Map, Google Photos, Chrome, YouTube, Facebook, Instagram dan WhatsApp — berhenti beroperasi dalam tempoh jaminan pengeluar peranti berkenaan.
Perlindungan jaminan wang kembali ini disediakan pihak Shopee untuk pembelian peranti antara 1 Julai 2019 sehingga 30 September 2019 ini.
Shopee mengatakan sekiranya peranti berkaitan menghadapi masalah untuk mengakses sebarang aplikasi yang dinyatakan dalam tempoh yang dinyatakan, maka mereka boleh memohon untuk menerima wang kembali sepenuhnya — tetapi seperti biasa tertakluk kepada beberapa terma yang ditetapkan oleh pihak penjual berkaitan.
Dibawah program ini, antara peranti yang dilindungi adalah termasuk Huawei P20, P30, Mate 20, Nova 3, Nova 4, Y Max, dan tablet Mediapad M5.