Carian
Kereta Elektrik BMW Vision M NEXT Akan Dikuasakan Dengan ‘Bunyi Enjin’ Daripada Hans Zimmer
July 1, 2019 Arib Ismail

Hans Zimmer merupakan seorang komposer yang terkenal dalam menghasilkan skor bunyi untuk filem seperti The Dark Knight, Inception, dan Interstellar. Kini, BMW telah bekerjasama dengan beliau dalam menghasilkan bunyi pemanduan dan isyarat untuk sejumlah kereta elektrik keluaran mereka.

BMW dijangka akan melancarkan 25 buah kereta elektrik menjelang 2023, dan salah satu kenderaan ini dijangka akan diperkenalkan minggu hadapan di Munich. Ia bakal dikenali sebagai BMW Vision M NEXT yang mana akan menyertakan bunyi pemanduan dan isyarat yang dihasilkan oleh Hans Zimmer ini.

Bunyi yang dibangunkan dengan nama BMW IconicSounds Electric ni dapat memberi pengalaman pemanduan yang lebih imersif, kerana kenderaan elektrik tidak menghasilkan bunyi enjin. Apabila pemandu menekan pedal kereta ini, ia akan mengeluarkan bunyi yang cukup harmoni seolah-olah anda berada di dalam kenderaan futuristik.

Kereta ini walau bagaimanapun tidak beroperasi pada saat ini, namun dijangka akan menjadikannya sebagai rujukan untuk rekaan, pelan, dan teknologi yang bakal hadir untuk kenderaan elektrik BMW pada akan datang. Maklumat mengenai kenderaan ini juga dijangka akan diperkenalkan dengan lebih lanjut melalui acara NEXTGen 2019 yang berlangsung pada minggu hadapan.

Komen