Cari @ Amanz

Telefon Pintar Terkini Korea Utara Pyongyang 2425 Hadir Dengan Sokongan Pengecasan Nirwayar

Link Copied!

Di Malaysia hampir setiap minggu sebuah telefon pintar baharu akan dilancarkan sekaligus memberikan pengguna pelbagai pilihan. Tetapi jika anda ke Korea Utara, pilihan peranti adalah terhad kerana pelbagai sekatan teknologi yang dikenakan ke atas negara tersebut. Terkini peranti Pyongyang 2425 telah dilancarkan dan ia unik kerana hanya boleh menggunakan WiFI Mirae rasmi milik kerajaan serta sokongan pengecasan secara nirwayar.

Telefon pintar telah ditawarkan di Korea Utara sejak 2013. Pada waktu tersebut peranti Arirang menjadi bukti negara tersebut setanding dengan negara jiran Korea Selatan. Pyongyang 2425 mempunyai rekaan yang setanding dengan peranti semasa lengkap dengan takuk pada bahagian atas skrin dan sistem nyahkunci menggunakan wajah. Tiada maklumat mengenai spesifikasi lengkap dan sistem operasi. Yang diketahui hanyalah pemproses lapan teras dan aplikasi yang telah terpasang kerana tiada fungsi seperti Play Store pada peranti. Sebelum ini Arirang menggunakan sistem operasi tempatan yang diubahsuai dari Android 4.

Menurut laporan DailyNK, rekaan Pyongyang 2425 sama seperti VIVO BLU Vivo XI+. Mereka juga berkata peranti mungkin dilkilangkan di China oleh Gionee sebelum dieksport ke Korea Utara. Namun begitu ia dilaporkan sebagai buatan tempatan bagi menunjukkan kemajuan teknologi negara tersebut. Sebelum ini Korea Utara turut melancarkan perkhidmatan penstriman video seakan Netflix serta iPad buatan tempatan.

Penggunaan telefon pintar yang diseludup boleh dikenakan hukuman yang berat ke atas mereka yang didapati bersalah. Dalam kes serius hukuman mati boleh dijatuhkan. Pada waktu yang sama hanya golongan elit mempunyai akses kepada perkara asas seperti telefon pintar dan Internet di Korea Utara. Ini adalah bagi mengelakkan rakyat melihat keadaan dunia sebenar yang tidak selari dengan propaganda pemerintah.


Komen ()