Honor dalam persediaan untuk melancarkan Honor 9X selepas beberapa spesifikasinya telah tertiris pada beberapa minggu lalu. Kini mereka telah mengesahkan pelancaran peranti ini, yang mana bakal akan diumumkan pada 23 Julai 2019.
Ia disahkan melalui gambar jemputan yang dihantar kepada sejumlah media terpilih di China. Seperti laporan sebelum ini, ia bakal dijana dengan Kirin 810 yang menawarkan prestasi seumpama Snapdragon 730. Namun menurut Honor, cip ini hanyalah satu daripada sembilan keistimewaan daripada Honor 9X ini.
Selain daripada maklumat dari segi cip pemprosesan, ia juga dijangka akan hadir dengan variasi ‘pro’ untuk penawaran yang lebih berkuasa. Ia turut dilaporkan akan didatangkan dengan kebolehan tri-kamera, yang mana mungkin bakal disertakan dengan sokongan kamera ultralebar.
Honor 9X dijangka akan diperkenalkan terlebih dahulu di China dan bakal diperluaskan ke negara-negara lain selepas 23 Julai ini. Seperti Honor 8X, ia dijangka akan membawa penawaran fungsi yang padat pada harga jualan peranti yang mampu-milik.