Cari @ Amanz

Sony Menerbitkan Video Pendek Sempena Ulang Tahun Ke-40 Walkman

Link Copied!

Selamat hari ulang tahun ke-40 diucapkan kepada Sony Walkman. Pemain muzik mudah alih ini dilancarkan pada 1 Julai 1979 dengan model pertama Walkman TPS-L2. Menurut sejarah Walkman dibangunkan selepas pengasas Sony, Masaru Ibuka menghadapi masalah mendengar muzik kegemaran ketika berurusan di luar pejabat. Pemain Sony TC-D5 yang dikeluarkan syarikat beliau adalah terlalu besar untuk dibawa sepanjang masa.

Norio Ohga yang merupakan timbalan presiden eksekutif Sony diberi tanggungjawab menghasilkan Walkman pertama. Ketika dipasarkan, Sony meletakkan sasaran jualan 5000 unit sebulan. Tetapi dalam masa dua bulan sahaja, 50,000 mampu dijual. Ia kemudian dipasarkan sebagai Soundabout di A.S dan Stowaway di U.K kerana kos memfaikan tanda dagang antarabangsa adalah rumit serta mahal. Hanya selepas Walkman dilihat sebagai produk yang boleh mendatangkan keuntungan, tanda dagang Walkman difailkan.

Pada awalnya ia hanya berfungsi sebagai pemain kaset sebelum fungsi rakaman audio disertakan. Dengan perubahan zaman, Walkman juga hadir dalam bentuk pemain cakera padat, katrij MiniDisc dan pemain MP3. Penggunaan Walkman kini mungkin tidak sepopular dahulu tetapi bagi pembaca muda Amanz, Walkman ialah iPod bagi mereka yang lahir pada dekad 70-80an.


Komen ()