LG pada acara MWC 2019 yang lalu telah melancarkan LG G8 yang membawakan penawaran peranti berkuasa. Kini mereka telah hadir dengan variasi baru untuknya menerusi LG G8s yang lebih dioptimasikan untuk pasaran global.
LG G8s secara kasarnya masih membawakan spesifikasi seumpama LG G8, namun terdapat perubahan dari segi resolusi skrin. LG G8s hadir dengan paparan 6.21-inci P-OLED FHD+ (berbanding QHD+), cip Snapdragon 855, dan membawa memori 6GB RAM.
Melengkapkan lagi peranti ini adalah sokongan tri-kamera 12MP f/1.8 + 12MP (telefoto) + 13MP (ultralebar), kamera hadapan 8MP, dan bateri berkapasiti 3550 mAh. Ia juga membawakan pembesar suara stereo, sokongan ketahanan air IP68, dan menjalankan antaramuka LG UX 8.0 berasaskan Android 9.0 Pie.
Seperti LG G8, ia membawakan teknologi Hand ID yang membolehkan pengguna menggunakan telapak tangan untuk membuka peranti. Fungsi ini turut membenarkan pengguna mengawal kawalan suara, membuat pertukaran lagu, atau mengaktif sesuatu fungsi hanya melalui isyarat tangan.
Dari segi jualan, LG masih tidak mengumumkan sebarang harga dan tarikh penjualan rasmi untuk peranti ini. Namun apa yang pasti, ia akan ditawarkan untuk lebih banyak pasaran, sekaligus memperluaskan penawaran peranti ini.