Cari @ Amanz

Industri telekomunikasi tempatan boleh dikatakan diantara industri yang menampakkan pembaikan yang ketara setelah setahun dibawah kerajaan baru.

Akan tetapi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dibawah naungan Gobind Singh Deo mengatakan walaupun tanda harga langganan perkhidmatan jalur lebar dan selular sudah melihat penurunan yang ketara, hampir kesemua penaiktarafan ini hanya dapat dirasakan oleh mereka yang hidup di kawasan bandar.

Menurut Gobind, pengguna kawasan luar bandar masih belum dapat merasa penambahbaikan tersebut, terutamanya dari segi khidmat pelanggan, dan ini menyebabkan mereka masih berasa tidak puas hati tentang perkhidmatan yang diberikan.

“Apa yang penting adalah kita perlu menambah baik sistem bagi menangani setiap aduan dikemukakan. Ia bukan sekadar bekalkan perkhidmatan yang murah dan laju, malah syarikat-syarikat telko ini perlu juga memastikan segala aduan diselesaikan dalam masa ditetapkan,” katanya.

Menurut laporan Bernama, Isu ketidakpuashatian pelanggan bukanlah sesuatu yang baru, tetapi untuk pelanggan kawasan luar bandar, terdapat 390 aduan yang diterima mengenai sambungan Internet yang perlahan dari awal tahun ini sehingga bulan Mei, dan 387 aduan yang sama sepanjang tahun lepas.

Sistem KPI akan dipasang untuk memastikan sejumlah besar isu-isu yang diutarakan oleh para pengguna ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd