Pesawat penumpang komersial telah wujud sejak 1913 dengan penerbangan komersial pertama dilakukan pada tahun 1914. Ia hadir hanya 11 tahun selepas Wright bersaudara berjaya melakukan penerbangan pesawat berkuasa pertama. Teknologi pesawat penumpang kini semakin canggih dengan kabin dilengkapi sistem audio visual yang menawarkan ribuan kandungan.
Boeing sebagai nama besar dalam penghasilan pesawat penumpang komersial memperlihatkan pesawat ecoDemonstrator generasi ke enam. Sebuah Boeing 777 diubahsuai untuk menjadi platform ujian 50 teknologi yang mungkin akan digunapakai pada pesawat masa hadapan.
Antara teknologi yang akan diuji ialah tandas, dapur dan kabin pintar. Menerusi sistem yang diuji, suhu dalam ketiga-tiga kawasan pesawat ini akan berubah dengan pintar mengikut keadaan bagi meningkat keselesaan penumpang.
Sistem digital yang menghubungkan kokpit kepada menara kawalan dan pusat kawalan syarikat penerbangan juga diuji. Ini akan mempercepatkan hubungan di antara pesawat di udara dengan kakitangan di darat. Sistem komunikasi ini mampu memberikan maklumat haluan baharu kepada juruterbang secara automatik apabila berlaku perubahan cuaca. Beoing ecoDemonstrator akan melakukan penerbangan pertama pada penghujung tahun ini.