Berikutan pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengenai pelan telko untuk golongan OKU, nampaknya Celcom telahpun memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memudahkan golongan ini melanggan pelan mudah alih bersama mereka.
Pertama, bagi semua golongan OKU yang melanggan pelan pascabayar Celcom dan Xpax ataupun Celcom Home Wireless, mereka akan menerima rebat RM10 seumur hidup.
Untuk memudahkan mereka melanggan pelan-pelan ini, Celcom telah menyediakan laluan khas untuk mereka di semua kedai Blue Cube di seluruh Malaysia, dan mereka akan diberi layanan awal supaya mereka boleh mendapatkan kad SIM mereka dengan cepat.
Bagi mereka yang tidak boleh keluar dari rumah, Celcom juga mengatakan bahawa kad pengenalan dan kad OKU boleh diberikan kepada ahli keluarga untuk mendaftar pelan tersebut, ataupun pihak Celcom boleh dipanggil ke rumah untuk menjalankan proses pendaftaran tersebut.
Inisiatif ini bermula minggu ini, dan ia adalah sesuatu yang bagus dari pihak Celcom untuk memudahkan golongan OKU untuk bersambung ke internet.