Cari @ Amanz

Hari ini, penghala WiFi boleh dikatakan sebuah peranti yang wajib didalam semua rumah kerana ia diperlukan untuk menggerakkan sambungan internet secar nirwayar ke seluruh rumah.

Akan tetapi, penghala-penghala WiFi ini biasanya mempunyai beberapa kelemahan, seperti langkah pemasangan yang rumit dimana pengguna perlu memasangnya secara terus kepada penghala tersebut terlebih dahulu.

Bukan itu sahaja, bergantung kepada saiz rumah ataupun pejabat anda, terdapat kebarangkalian bahawa satu penghala sahaja tidak akan mencukupi untuk menghala sambungan tersebut ke seluruh pelusuk kediaman ataupun pejabat tersebut.

LinkSys, sebuah jenama yang terkenal untuk peranti penghala dan rangkaian mereka telah memperkenalkan penghala WiFi terbaru mereka, iaitu LinkSys Velop Home WiFi System, sebuah sistem penghala WiFi yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga mudah digunakan dan hadir dengan prestasi dan ciri-ciri yang cukup menarik.

Rekaan Dan Spesifikasi

Penghala LinkSys Velop ini direka untuk kelihatan seperti sebuah bongkah yang berdiri tegak, dan tidak sama sekali seperti rekaan penghala lain yang biasanya mempunyai rekaan kotak leper.

Bergantung kepada keperluan anda, sama ada anda mempunyai rumah yang besar ataupun pejabat yang mempunyai pekerja dan peranti yang banyak, anda boleh memilih untuk membeli pakej yang hadir dengan satu, dua ataupun tiga modul penghala WiFi.

Setiap penghala ini hadir dengan dua palam LAN RJ-45 yang boleh digunakan untuk disambungkan kepada modem, dan satu lagi kepada peranti komputer yang tidak mempunyai sokongan untuk sambungan WiFi.

Dari segi sambungan WiFi pula, penghala LinkSys Velop ini menyokong sambungan WiFi 802.11ac dan mampu menampung sambungan sehingga 800Mbps. Untuk saluran sambungan pula, ia mempunyai sambungan triple channel yang terdiri daripada satu 2.4GHz dan dua saluran 5.0GHz.

Saluran 2.4GHz mempunyai jarak liputan yang lebih besar, tetapi mempunyai kelajuan WiFi yang lebih terhad, manakala saluran 5GHz mampu menampung kelajuan WiFi yang lebih laju, tetapi mempunyai liputan yang terhad.

Jadi bergantung kepada kemampuan peranti-peranti anda dan juga lokasi kediaman atau pejabat anda, anda boleh memilih untuk menggunakan saluran 2.4GHz sahaja, 5GHz sahaja ataupun kedua-duanya sekali.

Pemasangan

Seperti yang kami katakan sebelum ini, pemasangan kali pertama sebuah penghala WiFi boleh dikatakan agak rumit kerana pelbagai persediaan yang diperlukan untuk memasangnya.

Dengan penghala LinkSys Velop, pengguna hanya perlu menyambungkannya kepada sumber kuasa dan juga modem menggunakan kabel RJ-45, hidupkan penghala tersebut dan ikut arahan yang diberikan melalui aplikasi mudah-alih pada peranti pintar anda.

 

 

Ya, LinkSys mempunyai aplikasi yang boleh dimuat-turun untuk peranti Android ataupun iOS yang boleh digunakan untuk pemasangan pertama dan juga untuk mengakses beberapa ciri-ciri yang hadir pada penghala ini.

Untuk pemasangan pertama, aplikasi tersebut akan memimpin anda dari langkah pertama pemasangan tersebut, sehinggalah langkah dimana penghala tersebut mendapat sambungan Internet.

Disini, nasihat kami ialah anda dapatkan nama pengguna dan juga kata laluan yang diperlukan untuk menyambung penghala ini ke Internet. Maklumat ini boleh diminta daripada perkhidmatan pengguna pembekal Internet anda.

 

Anda juga akan diminta mendaftar untuk akaun LinkSys, dan pada pendapat kami, ini diperlukan kerana ia akan memudahkan cara untuk anda mengakses latar belakang penghala ini, daripada perlu menghafal kata laluan penghala yang kompleks.

Walaupun aplikasi mudah-alih ini sangat berguna untuk mengakses ciri-ciri asas, anda masih perlu menggunakan antaramuka web untuk mengubahsuai tetapan-tetapan lain seperti pengubahsuaian penambahan WiFi ID yang menggunakan saluran 2.4GHz/5.0GHz, akaun tetamu, senarai putih/hitam laman web dan sebagainya.

Pengalaman Pengguna

Saya menguji penghala LinkSys Velop ini di dua lokasi, termasuklah kawasan rumah dan juga pejabat. Untuk kawasan rumah, saya menguji kebolehannya untuk meliputi keseluruhan rumah dengan sambungan WiFi, manakala untuk pejabat pula, saya menguji kebolehan penghala tersebut untuk disambungkan ke pelbagai jenis peranti.

Untuk persekitaran pertama, saya menggunakan ketiga-tiga penghala untuk meliputi seluruh pelusuk rumah, dan pemasangan penghala tambahan ini, sama seperti pemasangan penghala yang pertama, adalah sangat mudah dan juga boleh dilakukan melalui aplikasi Linksys.

Nasihat kami untuk memastikan anda mendapatkan liputan maksima ialah untuk meletakkan setiap penghala ini pada jarak lingkungan dalam 10 meter diantara satu sama lain. Disamping mendapatkan liputan yang lebih luas, Ini akan memastikan anda mendapatkan kelajuan internet yang ditawarkan oleh pembekal internet.

Untuk penggunaan pejabat pula, kami sarankan anda menggunakan sekurang-kurangnya dua penghala WiFi untuk menyebarkan sambungan peranti-peranti kepada rangkaian WiFi.

Ini adalah kerana untuk penghala Velop ini, satu penghala boleh disambungkan kepada sekitar 30 peranti pada satu-satu masa, tetapi ini tidak digalakkan kerana walaupun anda mempunyai sambungan internet yang pantas, penghala tersebut akan mengalami kesulitan untuk menampung semua sambungan-sambungan tersebut.

Pengagihan rangkaian WiFi melalui dua penghala akan memastikan kelemahan ini tidak menjadi satu isu, terutamanya apabila sambungan Internet merupakan nadi kehidupan sesebuah pejabat.

Untuk kedua-dua situasi ini, pemasangan penghala-penghala ini hanya mengambil masa sekitar 15 ke 30 minit sahaja, dan adalah sangat cepat dan mudah.

Walaupun begitu, penghala LinkSys Velop ini masih hadir dengan beberapa kelemahan yang perlu kami utarakan. Salah satu daripadanya ialah setiap penghala ini hadir dengan hanya dua palam LAN RJ45 sahaja.

Walaupun WiFi adalah jenis sambungan yang lebih popular kerana ia mengurangkan isu kabel berselirat, ada pengguna yang lebih gemar menggunakan sambungan kabel yang lebih stabil.

Malah, terdapat berbagai peranti yang masih hanya menggunakan sambungan kabel sebagai cara untuk disambungkan ke rangkaian, seperti mesin pencetak dan peranti storan berangkai (Network Attached Storage).

 

Isu seterusnya untuk saya ialah mengenai ciri akaun pelawat yang ditawarkan oleh penghala LinkSys Velop ini. Dengan ciri ini, pelawat boleh menyambungkan peranti mereka kepada rangkaian anda tanpa menerima akses kepada peranti-peranti lain yang disambungkan pada rangkaian yang sama.

Ini adalah sebuah ciri yang sangat bagus, akan tetapi akaun pelawat ini tidak boleh diaktifkan tanpa kata laluan tersebut. Bukan itu sahaja, pentadbir rangkaian tidak boleh menetapkan kelajuan maksima rangkaian ini.

Ini juga membawa saya kepada sebuah lagi isu dimana kelajuan internet rangkaian-rangkaian yang hadir melalui penghala ini juga tidak boleh diubahsuai. Tidak kira anda menggunakan rangkaian 2.4GHz ataupun 5GHz, kesemua rangkaian-rangkaian ini akan hadir dengan kelajuan internet maksima, bergantung kepada sambungan Internet anda.

Penutup

Bergantung kepada keperluan anda, penghala LinkSys Velop WiFi Home System ini sangat sesuai jika anda memerlukan sebuah peranti rangkaian yang boleh memaksimakan sambungan Internet di rumah anda.

Ia sangat mudah untuk dipasang, dan hanya memerlukan sebuah aplikasi mudah-alih untuk mengakses pelbagai ciri-ciri penghala tersebut. Dalam pada itu, ia juga mampu menyokong sambungan internet selaju 300-500Mbps.

Ia juga boleh dikatakan sesuai untuk kegunaan pejabat kecil, tetapi ini bergantung kepada jumlah peranti yang akan disambungkan kepada penghala-penghala ini pada satu-satu masa. Seperti yang kami nyatakan sebelum ini juga, jika pejabat anda mempunyai peralatan yang perlu disambungkan kepada rangkaian melalui kabel, ini mungkin bukan penghala yang sesuai.

Bergantung kepada model yang anda beli, penghala LinkSys Velop Home WiFi System ini hadir pada harga RM798, RM1488 dan RM1988 untuk model dengan ciri Tri-Band (2.4GHz, 5.0GHz, 5.0GHz), dan RM398, RM778 dan RM1118 untuk model Dual-Band (2.4GHz, 5.0GHz).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd