Linux Mint 20 Dan Versi Seterusnya Tidak Akan Lagi Menyokong Sistem Berasaskan 32-Bit

Linux Mint 20 Dan Versi Seterusnya Tidak Akan Lagi Menyokong Sistem Berasaskan 32-Bit

Diterbitkan pada July 3, 2019 oleh .

Pembangun utama Linux Mint pada hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan pembangunan berasaskan 32-bit bermula Linux Mint 20. Langkah ini selari dengan pengumuman Canonical yang turut tidak lagi menyokong pengkomputeran 32-bit pada Ubuntu 19.10 dan Ubuntu 20.04 LTS. Untuk makluman, Linux Mint (versi standard) merupakan salah satu distro Linux yang dibina berasaskan versi pembangunan Ubuntu terkini.

Melalui perkongsian daripada blog Linux Mint, langkah ini pastinya akan menerima sokongan daripada banyak pihak, kerana komputer berasaskan 32-bit hanya berada dalam kuantiti yang kecil. Komputer berasaskan 64-bit mula digunakan pada tahun 2003, dan pada hari ini, kebanyakan komputer di pasaran telah pun tersedia dengan sokongan 64-bit.

Pembangun Linux Mint juga ada menyentuh mengenai pakej 32-bit, yang mana ia akan turut disertakan di dalam Linux Mint 20 berdasarkan langkah daripada Canonical. Pada minggu lalu, Canonical telah mengumumkan sejumlah pakej 32-bit terpilih akan disertakan pada Ubuntu 19.10, sekaligus membolehkan komputer menjalankan perisian yang memerlukan komponen 32-bit.

Sekiranya anda menggunakan Linux Mint pada komputer yang tidak menyokong 64-bit, anda boleh menggunakan Linux 19.0, 19.1, 19.2, atau 19.3 sehingga tahun 2023. Selepas daripada jangka masa ini, anda disarankan untuk beralih ke sistem operasi alternatif lain atau membuat penaik-tarafan komputer untuk menikmati sokongan yang lebih terkini.


TIPS & ULASAN