Samsung Dilaporkan Telah Menyiapkan Rekaan Galaxy Fold Yang Dibina Semula

Samsung Dilaporkan Telah Menyiapkan Rekaan Galaxy Fold Yang Dibina Semula

Diterbitkan pada July 3, 2019 oleh .

Samsung telah menangguhkan penjualan Galaxy Fold setelah peranti ini mengalami sejumlah isu dari segi paparan dan rekaannya. Disebabkan itu, Samsung telah menyiapkan semula rekaan peranti ini selama 2 bulan, dengan membawakan sejumlah binaan yang ditambah baik.

Ketika ia diberikan kepada sejumlah pengulas teknologi, ada di antara mereka yang menarik satu lapisan di atas skrin kerana mengganggap ia adalah perlindung skrin. Apabila lapisan ini ditarik, paparan Galaxy Fold akan mula bermasalah dan melenyapkan beberapa bahagian pada skrin ini.

Melalui rekaan yang dirujuk semula ini, bahagian hujung lapisan di atas skrin ini tidak lagi terdedah seperti sebelum ini, yang mana ia akan ditutup oleh bingkai skrin. Perkara ini sekaligus dapat mengelakkan pengguna menarik keluar lapisan ini, kerana penghujung lapisan ini telah dilindungi.

Samsung Galaxy Fold

Rekaan engselnya juga telah ditambah baik, yang mana ia dapat menegangkan lapisan skrin apabila peranti dibuka. Ia dapat membantu untuk mengurangkan penampakan lipatan di bahagian tengah, sekaligus memberi paparan yang lebih neutral seumpama melihat skrin berasaskan kaca.

Walaupun Samsung berjaya mereka semula Galaxy Fold ini, ia masih tidak diketahui bilakah ia akan dipasarkan. Namun mengikut ura-ura terkini, Samsung dijangka akan mengumumkan jualannya pada acara pelancaran Galaxy Note 10 pada 7 Ogos ini.



TIPS & ULASAN