Cari @ Amanz

Google Pixel adalah siri telefon pintar daripada Google yang hasilkan oleh bahagian Made by Google. Sejak tahun 2016 lagi, Google Pixel adalah barisan peranti mercu sahaja. Peranti ini terkenal dengan sistem operasi yang sangat hebat dan juga kemampuan kamera satu lensa yang menakjubkan.

Pada bulan Mei, Google buat pertama kalinya melancarkan peranti kelas pertengahan – Pixel 3a dan Pixel 3a XL. Kedua-dua peranti ini adalah variasi lebih ‘murah’ Pixel 3 yang harga jualan rasminya agak mahal. Disebabkan di Amerika Syarikat tidak mempunyai peranti kelas pertengahan seperti Xiaomi atau Honor – siri Pixel 3a ini boleh dikatakan adalah peranti kelas pertengahan terbaik. Tetapi adakah benar ianya yang terbaik? Ini adalah artikel ulasan, teruskan baca untuk mengetahuinya.

Spesifikasi

Google Pixel 3a XL
Skrin 6.0″ FHD+
OLED, Perlindungan Kaca AGC
Pemproses Snapdragon 670
Cip 2.0 X 2 GHz 360 Gold
1.7 X 6 GHz Kryo 360 Silver
10nm
Cip Grafik Adreno 615
RAM 4GB
Muatan Dalaman 64GB Sahaja
Kamera Utama 12.2 Megapixel f/1.8
Kamera Depan 8.0 Megapixel f/2.0
Bateri 3700 mAh
(Pengecasan pantas USB-PD)
SIM/Telefoni Satu SIM Nano
NFC Ada
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Imbasan cap jari di belakang
Harga Jualan $399-$479 (~RM1653 – RM1986)

Skrin peranti ini adalah 6.0-inci dengan resolusi FHD+ dan panelnya adalah OLED. Peranti ini dijana dengan Snapdragon 670 yang dipadankan dengan memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Untuk kamera ia hanya menggunakan satu lensa di belakang, iaitu lensa 12.2MP, manakala kamera swafoto pula adalah 8.0MP.

Skrin

Walaupun skrinnya adalah jenis OLED, ia masih tidak sehebat panel AMOLED. Warnanya sedikit malap dan tidak begitu terang. Apabila membuka kandungan video HDR, ia memaparkan warna yang cukup cantik – walau bagaimanapun ia tidak cukup tajam dan butirannya kurang memuaskan. Lebih mengecewakan, apabila di bawah cahaya matahari – skrin sangat malap dan hampir tidak boleh digunakan. Panel skrin adalah jenis OLED dan dilindungi dengan kaca Asahi Dragontrail (pesaing Gorilla Glass, tetapi lebih murah). Tiada sebarang pengiktirafan HDR atau HDR10+ dan warna skrinnya adalah sedikit malap.

Tidak cukup dengan itu, rekaan skrin dengan dahi dan dagu yang sangat tebal dan sangat menjengkelkan. Ini mungkin kerana sudah terbiasa dengan peranti Android kelas pertengahan yang menggunakan rekaan yang lebih moden. Walaupun rekaan yang hodoh dan bingkai yang tebal, kelebihan adalah ia tidak akan ada masalah dengan tapak tangan tersentuh skrin.

Perkara menarik yang saya gemar gunakan pada bahagian skrin adalah sokongan Always-On Display dan juga fungsi seperti Now Playing. Ia amat berguna dan menjimatkan bateri. Secara keseluruhan, skrin LCD pada iPhone XR adalah lebih baik. Untuk media, menonton Netflix dan YouTube memberi pengalaman yang agak baik. Cuma jangan bandingkan dengan peranti mercu, jika membuat perbandingan – perasaan kecewa mula tiba.

Skor skrin yang boleh saya berikan hanyalah 6/10.

Prestasi

Cip Snapdragon 670 ini jika kita dengar agak mengecewakan. Sebenarnya prestasinya agak baik, cuma cip ini boleh dikatakan sedikit tidak sesuai untuk peranti tahun 2019. Butiran yang tertiris menjangkakan siri Pixel 3a akan menggunakan cip dari barisan Snapdragon 7xx, sayang sekali Snapdragon 670 pula yang digunakannya.

Dengan sistem operasi Android asli, tanpa tema yang berat dan tanpa aplikasi berat berjalan di latar – prestasi peranti ini baik-baik sahaja. Peralihan animasi terasa perlahan, apabila tatal kiri ke kanan atau atas ke bawah, terasa kehadiran micro lag. Anda bayangkan sahaja, pada pelancar asli sudah lengah masa – bagaimana dengan prestasi keseluruhan.

Membuka aplikasi yang banyak untuk tujuan multi-tugasan, menjadikan prestasi peranti lebih terasa perlahan. Tukar dari aplikasi ke aplikasi terasa mengambil masa untuk memuat semula. Paling menyakitkan hati adalah WhatsApp, notifikasi hanya kadangkala sahaja akan diterima. Kebanyakan kalinya, saya perlu membukan aplikasi WhatsApp terlebih dahulu untuk menerima notifikasi. Multi-tugasan kecewa, WhatsApp kecewa, tetapi bagaimana dengan permua?

Sudah tentu, permua pertama yang saya uji adalah PUBG Mobile. Di halaman utama permua ini semuanya lancar sahaja, tetapi dalam tetapan – grafik maksima yang boleh ditetapkan adalah HD sahaja. Agak kecewa, untuk peranti OLED dan resolusi FHD+ hanya menyokong pada tahap itu sahaja. Kemudian, sebaik sahaja masuk ke dalam – watak saya hanyalah satu kepala terapung dan lengah masa yang serius mula dirasai.

Apabila mula bermain, sekejap ianya lancar, kemudian ia mula sangkut dan membeku seketika – membuatkan saya terus mati ditembak ditemui ajal tanpa sempat bertindak menembak musuh. Ujian seterusnya adalah Asphalt 9, di halaman utama dan skrin memuat sedikit lengah masa – tetapi masa bermain, tiada masalah grafik dan pengalaman bermain agak memuaskan. Cuma butirannya kurang menarik dan terasa menggunakan peranti kelas permulaan.

Walaupun banyak kritikan saya terhadap prestasi peranti ini. Ia sebenarnya masih baik secara keseluruhan. Jika gunakan untuk kegunaan ringan dan hanya untuk kamera, ia cukup lancar. Android Pie yang dijalankan adalah yang sama dengan Pixel 3, jadi ini bermaknan Android Q Beta terkini turut boleh dipasang. Perlu diingatkan, Android asli mempunyai kecerdasan buatan terbina – jadi banyak aplikasi yang dioptimasikan untuk tidak berjalan di latar agar prestasi dan bateri peranti kekal baik dan sihat.

Secara keseluruhan, skor prestasi yanh boleh saya berikan adalah 7/10.

Kamera

Dengar sahaja Google Pixel, pasti ramai akan fikir GCam. Ini kerana tanpa Google Pixel, GCam itu tidak akan wujud. Walaupun skrin kurang menarik dan prestasi sedikit hambar – kualiti kameranya sungguh memuaskan. Peranti ini menggunakan Google Camera yang asli tanpa sebarang modifikasi. Dengan Google Camera pada Pixel yang hanya mempunyai satu lensa, ia mampu memberikan hasil yang lebih baik dari peranti yang mempunyai banyak lensa.

This slideshow requires JavaScript.

Mod potret Pixel yang terkenal, Night Sight, Playground dan Photobooth yang terkenal pada Pixel 3 – semuanya ada ada Pixel 3a XL. Paling kerap saya gunakan kamera pada peranti ini adalah mod potret. Pada saya, sehingga hari ini masih tiada peranti lain yang boleh memberikan hasil mod potret sehebat Google Camera pada peranti Pixel.

Seterusnya, saya turut menguji mod malam Night Sight. Sedikit perlahan prestasinya, tetapi hasil yang diberikan membuatkan saya tidak hiraukan prestasi kamera. Sabar itu separuh daripada iman? Jadi apa salah menunggu hanya beberapa saat untuk hasil gambar yang menggembirakan diri sendiri. Setiap tangkapan gambar yang saya lakukan membuatkan saya berfikir – adakah saya seorang jurugambar profesional? Sedangkan saya hanya seorang noob dalam kerja-kerja mengambil gambar.

This slideshow requires JavaScript.

Mengambil gambar biasa pula, yang paling menarik adalah hasil dynamic range yang cukup baik. Warnanya tajam, butiran jelas dan cukup terang. Sepanjang penggunaan tidak ada rasa kecewa langsung. Seterusnya adalah kamera swafoto. Bayangkan, kamera swafoto satu lensa di hadapan juga boleh mengasilkan mod potret yang sangat menakjubkan.

This slideshow requires JavaScript.

Walaupun peranti ini tidak mempunyai Pixel Visual Core, memuat naik video di Instagram Stories – hasilnya tidak seteruk peranti OnePlus 7 Pro. Peranti OnePlus 7 Pro yang dijual secara rasmi sehingga RM4199, tewas dengan peranti kelas pertengahan? Tidak pasti apa yang Google lakukan untuk mempunyai hasil Instgram Stories yang lebih baik berbanding peranti Android lain.

Skor kamera peranti ini adalah 9/10.

Pembesar Suara

Seperti Google Pixel sebelumnya, peranti ini juga mempunyai pembesar suara stereo. Satu di bahagian earpiece dan satu lagi di bahagian bawah. Pada saya itu adalah lokasi yang teruk, kerana Pixel sebelumnya berada pada bahagian dagu. Dengan lokasi di bahagian bawah, tangan akan menghalangi audio – secara tidak langsung memberikan pengalaman yang kurang memuaskan.

Syukur, hasil bunyinya agak baik dan tidaklah teruk. Cuma, pada aras suara yang maksima – bunyinya sedikit tajam. Ini kerana, pembesar suara ini mempunyai bass yang tidak hebat. Jadi hasil bunyi sedikit bingit dan menjengkelkan. Mendengar dari jarak jauh, hasilnya cukup memberangsangkan.

Bermain permua, menonton video atau mendengar muzik – hasil audio adalah ‘ok‘. Saya hanya bersyukur yang sebuah peranti kelas pertengahan mempunyai pembesar suara stereo.

Skor yang sesuai pada saya adalah 6/10 sahaja.

Bateri

Bateri agak besar iaitu 3700mAh da ia menggunakan sistem pengecasan pantas USB-PD 2.0. Kuasa pengecas dalam kotak adalah 18W maksima. Kebaikan di sini adalah, peranti mercu Google Pixel 3 dan peranti kelas pertengahan Pixel 3a XL – mempunyai sistem pengecasan pantas yang sama.

Dengan kapasiti bateri 3700mAh ini, secara tidak langsung menjadikan peranti Google Pixel pertama dengan saiz bateri paling besar. Saya berjaya mempunyai ketahanan bateri mencapai sekitar 7 Jam SOT. Saya mencapai tahap ini kerana prestasi peranti yang lemah, jadi saya tidak bermain sebarang permua. Saya hanya gunakan WhatsApp, Facebook, Instagram dan aplikasi membeli-belah sahaja.

Akan tetapi, apabila saya kerap menggunakan Google Chrome – ketahanan bateri hanya bertahan bawah 6 Jam SOT. Apabila ditambah menggunakan aplikasi suntingan gambar dan banyak menonton video, ketahanan hanya sekitar 3-4 Jam SOT sahaja. Pengecasan pantas 18W pada saya agak perlahan, kerana peranti seperti Samsung Galaxy A80 atau iQOO Neo menggunakan pengecasan pantas 25W dan 22.5W.

Skor yang sesuai pada saya adalah 7/10.

Rekaan

Sebelum lihat di bahagian hadapan, saya akan cerita sedikit di bahagian belakang. Ia menggunakan rekaan dua tona warna yang mirip dengan Pixel 2 dan Pixel 3. Cuma, Pixel 3a XL menggunakan bahan binaan plastik sepenuhnya dan dari sudut pandangan ia masih kelihatan premium. Ia hanya terasa murah apabila dipegang sahaja.

Di bahagian belakang terdapat satu lensa kamera di bahagian atas, LED flash, pengimbas cap jari dan juga logo G. Di bahagian depan adalah yang paling kecewa. Rekaan bingkai yang tebal dan dahi dan dagu yang sangat tebal. Di bahagian dahi, terdapat kamera swafoto dan juga earpiece. Di sisi kanan terdapat butang kuasa dan butang aras suara. Sisi kiri pula hanya slot kad SIM, di bawah adalah port USB-C dan kekisi pembesar suara dan di atas adalah mikrofon dan paling menarik dan terhebat – port bicu audio 3.5mm.

This slideshow requires JavaScript.

Rekaannya ‘ok‘, dan selesa sahaja di tangan. Saya lebih gemar menggunakan peranti ini tanpa sebarang kerangka. Ia tidak licin dan yang penting di bahagian belakang ia kelihatan premium dari jauh.

Skor rekaan yang sesuai adalah 7/10 sudah memadai.

Harga

Harga jualan Pixel 3a dan Pixel 3a XL sebenarnya murah. Tetapi murah untuk mereka yang berada di Amerika Syarikat. Ini kerana, di sana tidak banyak peranti kelas pertengahan dan jika ada pun – kualiti kamera, paparan dan prestasi adalah sangat mengecewakan. Dengan kehadiran dua peranti kelas pertengahan dari Made by Google ini, ia adalah satu pilihan baik untuk pengguna di sana.

Harga jualan rasmi di sana hanya $399 untuk 4/64 GB Pixel 3a dan $479 untuk 4/64 GB Pixel 3a XL. Jika dibandingkan dengan peranti mercu mereka tersendiri Pixel 3 yang dijual pada harga $799 – $999 (semasa dilancarkan), siri Pixel 3a ini agak murah. Hampir separuh murahnya.

Tetapi jika mata wangnya ditukar secara terus dalam RM, harganya adalah RM1653 dan RM1986. Penjual di Malaysia menjual dari harga sekitar RM1950RM2499 mengikut warna dan kesediaan stok. Harga yang agak mahal, yang mana harga peranti kelas pertengahan berkuasa seperti Xiaomi Mi 9T – harganya hanya RM1199 dan ia berkali ganda lebih berkuasa, cuma kamera sahaja kurang sedikit.

Jadi, skor harga pada saya adalah 6/10.

Konklusi

Peranti ini boleh dikatakan serba lengkap. Ia mempunyai NFC dan sekuriti adalah pengimbas cap jari klasik yang diletakkan di belakang dan yang paling menarik, port bicu audio 3.5mm. Hasil kamera menghampiri Pixel 3, skrin yang ‘ok’, audio yang memadai dan juga rekaan premium – peranti ini adalah baik-baik sahaja.

Untuk hanya media sosial dan kamera, ini adalah peranti yang bagus. Untuk permua dan multi-tugasan, ia adalah peranti yang teruk. Paling mudah untuk anda bayangkan, ini adalah ‘kamera digital’ moden.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan yang amat menarik dengan kemasan yang kelihatan premium.
  • Kemampuan fotografi terbaik untuk peranti dengan satu lensa.
  • Kemaskini pantas yang sama dengan Pixel 3.
  • Pembesar suara stereo yang ok dan port bicu audio pada peranti kelas pertengahan.
  • Kemampuan rakaman video mengecewakan, sama seperi Pixel 3.
  • Prestasi yang sangat teruk.
  • Bahan binaan yang sangat murah.
  • Skrin OLED yang kurang memuaskan, LCD pada iPhone XR lebih baik.
  • Pengecasan pantas 18W yang sebenarnya tidak lagi pantas.
  • Harga jualan yang tidak masuk akal.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd