Cari @ Amanz

ASUS pada saat dalam persediaan untuk menawarkan ROG Phone 2 sebagai ganti kepada model ROG Phone. Jika sebelum ini kita mendengar ura-ura mengenai teknologi skrinnya, kini ia dijangka akan menyertakan teknologi pengecasan berasaskan 30W.

Perkara ini dilaporkan melalui pengesahan 3C di China yang memperlihatkan sejumlah maklumat elektronik pada peranti ini. Ia dijangka akan mempunyai dua variasi, iaitu I001DA yang menyertakan pengecasan 18W, manakala model I001DB pula hadir dengan pengecasan 30W.

Secara kasarnya, sokongan pengecasan 18W ini turut digunakan pada telefon berkuasa ASUS terkini iaitu ZenFone 6 (2019). Sementara untuk pengecasan 30W pula, teknologi ini sebenarnya turut digunakan pada ROG Phone generasi awal, jadi tiada sebarang penaik tarafan pada fungsi pengecasan peranti ini.

ASUS ROG Phone 2 dijangka akan menyertakan keupayaan skrin 120Hz yang membolehkan paparan menyajikan kadar segar semula yang lebih lancar. Ia turut dijangka akan hadir dengan cip Snapdragon 855, bateri berkapasiti tinggi, dan menyokong sejumlah aksesori permainan yang menarik.

ASUS ROG Phone 2 bakal diumumkan pada pertengahan Julai ini pada sebuah acara di Taiwan. Ia bakal memberi persaingan kepada Black Shark 2 dan Nubia Red Magic 3 yang juga memfokuskan kepada kegunaan permainan mudah-alih kepada pengguna.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd