Realme pada sebelum ini telah memperacah beberapa imej promosi yang memperlihatkan sebuah Realme X dengan edisi khas Spider-man. Bersempena dengan tayangan filem Spider-Man: Far From Home, Realme telah melancarkan peranti edisi khas ini secara rasmi dengan sejumlah perkara menarik di dalamnya.
Realme X Spider-Man: Far From Home Edition dilihat hadir dengan rekaan peranti standard, melalui tampilan binaan belakang berwarna putih. Ia turut digarap dengan kemasan berkilau, bagi memberi kesan kilauan yang menarik apabila dipantulkan ke cahaya.
Namun apa yang menarik, Realme turut menyertakan kotak pembelian khas bersama kerangka istimewa yang bertemakan filem ini. Realme juga telah menyertakan sebuah tema khas di dalam peranti ini, yang menyajian imej latar belakang dan ikonografi bertemakan filem Spider-man ini.
Realme X membawakan paparan 6.53-inci AMOLED FHD+, cip Snapdragon 710, memori 8GB RAM, dan storan dalaman 128GB. Untuk sokongan penggambaran, ia menyertakan dwi-kamera belakang 48MP + 5MP, selain menawarkan kamera hadapan 16MP yang boleh dikeluarkan secara automatik. Ia turut dilengkapi kapasiti bateri 3765 mAh dengan sokongan pengecasan VOOC 3.0 berasaskan USB-C.
Realme X Spider-Man: Far From Home Edition akan ditawarkan secara terhad bagi pasaran India bermula 15 Julai ini. Harga jualannya tidak diumumkan, namun dijangka akan berada pada harga jualan Realme X (128GB) di India iaitu Rs. 18,500 (~RM1110).