Cari @ Amanz

Papan kekunci berasaskan rekaan kupu-kupu telah diperkenalkan pada MacBook sejak 2015, namun ia mengalami pelbagai isu sejak daripada pengenalannya. Menurut Ming-Chi Kuo, Apple dilaporkan akan menghentikan pembangunannya pada MacBook akan datang – bermula pengeluaran sejumlah MacBook pada tahun ini.

Bagi menggantikan papan kekunci kupu-kupu ini, 9to5Mac melaporkan bahawa Apple mungkin akan beralih kepada rekaan dalaman kekunci berasaskan rekaan suis seumpama gunting. Menurut Kuo, antara MacBook terawal yang akan menerima rekaan baru ini ialah MacBook Air yang akan dilancarkan tahun ini, diikuti MacBook Pro pada tahun 2020.

Dengan perubahan ini, ia dijangka dapat mengurangkan isu kemasukan habuk dalam papan kekunci, yang mana menyebabkan sesetengah kekunci gagal berfungsi. Sejak pengenalan papan kekunci berasaskan rekaan kupu-kupu, Apple kerap menambah baik papan kekunci ini pada keluaran MacBook baru setiap tahun, namun masih terdapat isu dari segi penggunaan.

Dengan penggunaan suis kekunci berasaskan rekaan seumpama gunting, ia dijangka dapat mengurangkan isu ketahanan, selain dapat mengurangkan kos pengeluaran bagi papan kekunci ini. Selain daripada MacBook Air, MacBook Pro 13-inci tanpa Touch Bar juga dijangka akan menerima rekaan kekunci baru pada tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd