Cari @ Amanz

Tahun 2018 amat mencabar bagi majoriti pengeluar telefon pintar. Jualan telefon pintar menyusut jika dibandingkan dengan tahun 2018. Di antara lima pengeluar terbesar, Samsung mencatatkan penyusutan paling besar sebanyak 8%. Pesaing mereka seperti Huawei dan Oppo memperkenalkan peranti berinovasi yang mampu menarik perhatian pengguna terutamanya di pasaran China.

Bagi memastikan mereka kekal di tangga teratas pengeluar peranti terbesar dunia, Samsung tidak mempunyai pilihan dan perlu berinovasi. Hasilnya ialah Samsung Galaxy A80 yang mempunyai sistem kamera pop naik berputar. Ini adalah rekaan yang tidak pernah digunakan oleh mereka sebelum ini lengkap dengan skrin sepenuhnya tanpa takuk. Adalah pengenalan sistem kamera unik dan skrin gergasi sudah mencukupi untuk membuatkan Galaxy A80 berbaloi dimiliki? Ini ialah ulasan penuh kami.

Spesifikasi

Samsung Galaxy A80
Skrin 6.7″ FHD+,
SAMOLED, HDR10
Pemproses Qualcomm Snapdragon 730G
Cip 2.4 X 2 GHz Kryo 470 Gold
1.8 X 6 GHz Kryo 470 Silver
Cip Grafik Adreno 618
RAM 8 Gigabyte
Muatan Dalaman 128 GB
Kamera Utama 48+8+TOF Megapixel.
f/2.0+f/2.2+f/1.2, HDR
Kamera Depan 48+8+TOF Megapixel.
f/2.0+f/2.2+f/1.2, HDR
Bateri 3700 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Imbasan cap jari dalam skrin
Harga Jualan RM 2499

Skrin gergasi 6.7″ SAMOLED dengan resolusi FHD+ digunakan pada A80. Ini adalah saiz skrin terbesar pernah digunakan pada sebuah telefon pintar dalam sejarah Samsung selepas Galaxy A70 yang turut menggunakan saiz skrin yang sama. Perbezaan di sini ialah Galaxy A80 adalah peranti skrin sepenuhnya tanpa sebarang takuk pada bahagian atas.

Tiada langsung dagu dan dahi yang tebal boleh ditemui. Ia mempunyai ketebalan yang sama seperti yang ditemui pada Galaxy S10+. Skrin Galaxy A80 adalah rata seperti Galaxy S10e tanpa permukaan lengkung pada bahagian sisi. Walaupun hanya beresolusi FHD+, ikon dan imej yang terpapar pada skrin adalah cukup tajam tanpa kelihatan pecah. Anda mungkin perlu meletakkan peranti dua inci dari mata sebelum dapat melihat pixel pada skrin.

Ia boleh memaparkan kandungan HDR10 dengan tepat dan terang. Sungguhpun begitu kami menyedari keterangan skrin automatik tidak berubah dengan pantas jika dibandingkan dengan Galaxy S10+. Apabila berubah dari kawasan yang terang ke gelap misalnya, skrin mengambil masa sekitar satu saat untuk meningkatkan keterangan yang membolehkan kandungan skrin dilihat dengan jelas. Kadang kala ia langsung tidak berubah sehingga kami terpaksa menerangkan skrin secara manual. Perkara asas seperti ini tidak sepatutnya berlaku pada peranti moden.

Bagi mendapatkan rekaan semua skrin, pembesar suara untuk telinga diletakkan di bawah skrin. Ini adalah peranti ketiga dengan sistem sebegini yang pernah kami ulas selepas Mi MIX dan P30 Pro. Seperti pada kedua-dua peranti yang kami sebutkan tadi, kualiti audio pembesar suara bawah skrin yang digunakan adalah kurang memuaskan. Ia masih belum setanding sebuah pembesar suara fizikal. Beberapa laporan mengatakan sistem Sound on Display in akan turut digunakan pula pada Galaxy Note 10 selepas ini. Teknologi ini juga membuatkan sokongan audio stereo tidak disokong menerusi pembesar suara.

Mengikut trend semasa, sebuah pengimbas cap jari bawah skrin disertakan. Ia adalah dari jenis optikal dan berfungsi lebih perlahan berbanding jenis ultrasonik yang ditemui pada Galaxy S10. Pengimbas yang digunakan ini adalah yang paling perlahan dan bermasalah pernah kami ulas. Jari perlu ditekan kuat dan lama pada pengimbas sebelum peranti dinyahkunci. Kami boleh katakan adalah lebih baik menggunakan sistem kod laluan pada Galaxy A80 berbanding pengimbas kerana ia terlalu perlahan.

Menjana peranti ialah cip Snapdragon 730G yang dipadankan dengan memori 8GB dan storan 128GB. Namun begitu tiada sokongan kad Mikro SD disertakan. Ini adalah pilihan yang aneh kerana peranti ia adalah fungsi standard peranti Samsung sejak lebih sedekad lalu. Berita baik ialah peranti masih menyokong dua SIM bersaiz nano.

Kamera utama menggabungkan sensor 48+8+TOF Megapixel. Ia adalah peranti kedua Samsung selepas Galaxy 10 5G yang hadir dengan sensor yang mampu mengesan kedalaman. Sensor utama 48-Megapixel adalah untuk rakaman imej biasa manakala sensor 8-Megapixel digunakan pada lensa ultra-sudut lebar. Tiada kemampuan melakukan zum optikal pada peranti ini.

Melengkapi spesifikasi ialah bateri sebesar 3700 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W. Ini adalah sistem pengecasan terpantas yang digunakan oleh Samsung yang sebelum ini hanya menyokong pengecasan 15W. Selain Galaxy A80, pengecas pantas ini turut disertakan pada Galaxy S10 5G dan Galaxy A70.

Rekabentuk

Kemasan Galaxy A80 adalah cukup kemas dan premium. Bingkai besi pada bahagian sisi adalah sama seperti yang ditemui pada Galaxy S10. Panel kaca belakang melengkung dan membuatkan peranti amat selesa dipegang walaupun siaz Galaxy A80 adalah amat besar bagi sebuah telefon pintar.

Apa yang kami rasakan menarik ialah saiz peranti ini masih jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan Galaxy Tab yang pernah kami gunakan suatu ketika dahulu. Galaxy Tab hadir dengan skrin 7″, tetapi saiz dan ketebalannya adalah dua kali ganda lebih besar. Evolusi rekaan peranti sudah banyak berubah sejak sembilan tahun kebelakangan ini. Lihat sahaja perbezaan saiz bezel dan ketebalan peranti.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan manakala dua butang suara terletak pada sisi kiri. Ketiga-tiga butang diperbuat daripada logam dan amat selesa digunakan. Tiada butang khusus untuk Bixby disertakan tetapi pengguna diberikan pilihan memprogramkan butang kuasa untuk melancarkan pembantu maya Samsung ini. Kami sebenarnya kurang menggemari sistem ini kerana sedikit mengelirukan.

Port pengecasan USB-C. talam SIM dan pembesar suara terletak di bahagian bawah. Kerana talam SIM terletak pada bahagian bawah, tiada ruang untuk bicu audio. Seperti Apple, Samsung kini mempunyai keberanian untuk tidak lagi menyokong output audio menggunakan bicu 3.5mm. Kami tidak menyedari kehilangan bicu ini kerana sudah lama berpindah ke aksesori audio bluetooth dan mempunyai beberapa penyesuai. Tetapi kami merasakan pengguna kelas pertengahan seperti Galaxy A80 ini kebanyakannya masih belum berpindah ke dunia nirwayar. Harga jualan aksesori bluetooth masih lagi agak mahal pada waktu ini.

Bonjol kamera pada Galaxy A80 pula adalah agak besar. Peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Kami hanya menggunakan peranti ini selama dua minggu dan sudah terdapat beberapa calar pada bingkai besi yang mengelilingi bingkai lensa kamera. Penggunaan kerangka adalah perlu bagi mengelakkan kerosakan pada lensa dan mekanisme pop-putar yang disertakan.

Bercakap mengenai mekanisme pop-putar, ia memerlukan masa dua saat untuk melengkapkan kitaran membuka kamera hadapan. Ini adalah masa yang agak lama jika kami bandingkan dengan sistem pop-naik peranti lain di pasaran. Terdapat jurang sekitar satu inci yang terbuka apabila kamera naik ke atas. Ruang ini akan memerangkap kotoran dengan mudah. Hampir setiap hari kami perlu membersihkan ruang ini bagi mengelakkan debu tersekat yang mungkin akan menyekat pergerakan kamera.

Mekanisme kamera pop-putar Galaxy A80 mungkin kelihatan cantik tetapi kami sedikit risau dengan ketahanannya jangka panjangnya. Di laman rasmi Samsung, tiada maklumat mengenai jumlah ujian pop-putar yang telah mereka lakukan. Pengalaman peribadi menggunakan Oppo N3 sebelum ini membuatkan kami sedikit risau kerana dalam masa dua tahun, mekanisme pada peranti tersebut menjadi longgar dalam masa hanya setahun. Ini mungkin penyebab mengapa Oppo tidak lagi menggunakan rekaan ini pada peranti mereka.

Ia mempunyai sistem keselamatan yang menyimpan kamera apabila mengesan apabila peranti terjatuh. Tetapi masa yang diambil adalah terlalu lama untuk menyimpan kamera sebelum ia terjatuh ke lantai. Malahan kerangka rasmi yang dijual Samsung mempunyai tali panjang untuk pergelangan tangan. Mengelak peranti dari terjatuh adalah lebih baik kerana bahagian atas kerangka rasmi ia masih terbuka yang tidak memberikan sebarang perlindungan dari hentakan.

Tidak dapat dinafikan rekaan Galaxy A80 adalah yang paling inovatif kami lihat sejak Oppo Find X. Kedua-dua peranti menggunakan mekanisme pop naik yang membuatkan bahagian atas peranti bergerak. Rekaan skrin sepenuhnya tanpa takuk atau lubang juga amat seksi. Pengalaman menonton video pada skrin gergasi 6.7″ Galaxy A80 adalah lain dari yang lain. Peranti masih selesa digunakan sebelah tangan walaupun bersaiz agak besar. Tetapi pada waktu yang sama terdapat kerisauan mengenai tahap ketahanan mekanisme jika terjatuh dan ruang antara mekanisme yang memerangkap habuk.

Antaramuka

Sistem operasi Android 9 Pie digunakan dengan pelancar Samsung One UI 1.1. Pelancar ini adalah antara yang paling kami gemari kerana memadankan rekaan yang cantik dengan sistem kawalan yang mesra pengguna. Sistem navigasi tiga butang dikekalkan tetapi tiada sistem dwi butang seperti Android aslo ditawarkan. Tetapi pengguna masih boleh melakukan gesture pantas ke sisi bertukar-tukar di antara aplikasi yang telah dibuka.

One UI benar-benar memudahkan proses mengakses pelbagai bahagian antaramuka tanpa jari perlu melakukan aksi gimnastik. Fungsi tambahan yang disertakan pula memudahkan lagi proses pengguna peranti yang tidak ditawarkan oleh pengeluar lain.

Sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu, peranti berfungsi dengan lancar. Saiz RAM yang besar membolehkan banyak aplikasi dilancarkan serentak tanpa perlu melakukan proses pemuatan semula selepas diletakkan di latar belakang.

Namun begitu satu masalah yang kami rasakan agak menjengkelkan ditemui apabila cuba melakukan sulingan gambar. Skrin peranti kurang sensitif untuk mengesan pergerakan yang kecil ketika cuba melakukan cropping pada gambar. Walaupun jari bergerak hanya beberapa milimeter, bingkai cropping bergerak dengan lebih jauh. Ini mungkin berkait rapat dengan penentukuran skrin sesentuh yang tidak dilakukan dengan baik.

Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Digital Wellbeing – Memantau penggunaan peranti bagi membolehkan pengguna mengurangkan penggunannya. Masa penggunaan setiap peranti boleh dilihat. Terdapat mod skrin monokrom yang disahkan boleh mengurangkan masa yang dihabiskan menggunakan telefon pintar.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Quick Measure – Aplikasi realiti gabungan yang boleh mengukur objek di dunia sebenar. Kamera TOF digunakan bagi mendapatkan ukuran yang tepat.

Kamera

Sistem kamera 48+8+TOF Megapixel yang digunakan membolehkan gambar beresolusi tinggi diambil. Lensa sudut ultra-lebar dipadankan dengan sensor 8-Megapixel. Ini adalah konfigurasi kamera yang di atas kertas adalah lebih baik berbanding yang ditemui pada Galaxy S10e. Video dengan resolusi sehingga 4K 30 FPS boleh diambil menggunakan kamera belakang.

Sedikit aneh apabila kamera yang sama digunakan untuk rakaman video hadapan, resolusi video dihadkan ke 1080P 60FPS sahaja. Tiada logik di sini kerana modul kamera yang sama sepatutnya tiada masalah merakam video pada resolusi yang sama. Bagi memastikan rakaman video yang stabil, sistem Super Steady disertakan. Kali pertama fungsi ini digunakan pada Galaxy S10. Sistem disertakan kerana Galaxy A80 dipasarkan sebagai kamera untuk penstriman langsung yang baik.

Gambar statik boleh diambil pada nisbah 4:3, 16:9, 1:1 atau skrin penuh. Bagi membolehkan gambar diambil dengan baik sepanjang masa, kecerdasan buatan Scene Optimiser boleh diaktifkan. Ia bijak mengenalpasti subjek yang ingin diambil dan melakukan tetapan automatik. Jika kawalan manual penting bagi anda, mod Pro disertakan bersama dengan Night Mode. Kesemua mod ini dipinjam dari Galaxy S10.

Mod kamera lain yang disertakan dalam aplikasi kamera ialah Panorama, Super Slow-Mo, Hyperlapse, Live Focus dan Live Focus Video. Live Focus Video adalah eksklusif untuk Galaxy A80 pada waktu ini. Latar belakang boleh dikaburkan pada masa nyata semasa video dirakam. Kamera TOF membezakan latar belakang dengan objek utama video dengan pantas.

Kualiti Gambar

Dengan kamera utama 48-Megapixel pasti ramai berharap kualiti gambar yang diambil adalah amat baik. Tetapi di dalam dunia peranti mudah alih, Megapixel bukanlah segala-galanya. Kualiti gambar yang diambil hanyalah sekadar sederhana dengan penghasilan semula warna yang kurang tepat. Imej yang diambil sedikit kekuningan dan kurang tajam jika ingin dibandingkan dengan imej yang diambil menggunakan kamera 12-Megapixel Galaxy S10+. Jika dibandingkan dengan kualiti imej P30 Pro, perbezaan kualiti semakin jauh ketinggalan.

Ini adalah perbandingan yang tidak adil kerana beza jualan harga lebih RM1000. Tetapi ini juga adalah sebab mengapa ada pengguna sanggup berbelanja lebih untuk sebuah telefon pintar.

Gambar yang diambil Galaxy A80 juga tidak setajam gambar diambil oleh sebuah peranti mercu. Terdapat hingar yang ketara terutamanya di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik. Kesan bokeh Live Focus masih tidak kelihatan semula jadi jika dibandingkan dengan yang diambil oleh Google Pixel 3a XL yang hanya dilengkapi satu kamera sahaja. Bokeh di antara garfu dan sudu seperti yang anda boleh lihat sendiri di bawah tidak berapa sempurna.

Mod swafoto juga kurang memberangsangkan dengan objek yang kelihatan kurang tajam di dalam imej akhir.  Kesemua gambar yang kami paparkan di sini diambil dengan mod automatik dan Scene Optimiser diaktifkan.

Warna gambar yang diambil menggunakan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar juga berbeza. Lensa kamera utama menghasilkan imej yang lebih sejuk manakala lensa sudut ultra lebar lebih panas kekuningan. Jika gambar diambil di dalam situasi terang, kami rasakan ia memuaskan untuk perkongsian di media sosial. Jika dilihat pada resolusi sebenar barulah kekurangan dari segi keterangan dan ketajaman dapat dilihat dengan jelas.

Kualiti gambar Galaxy A80 adalah memuaskan bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Tetapi tahun ini Pixel 3a XL membuktikan kemampuan fotografi yang baik masih boleh dinikmati dengan penggunaan hanya satu lensa. Standard gambar peranti kelas pertengahan kini lebih tinggi berbanding tahun lalu. Kami berharap kemas kini perisian boleh diberikan bagi mempertingkat kualiti imej terutamanya dalam situasi gelap.

Audio

Hanya pembesar suara mono disertakan dan ia terletak pada bahagian bawah peranti. Ini adalah agak merugikan kerana kandungan video yang cantik pada skrin tidak boleh dinikmati dengan sistem audio yang setanding. Panggilan telefon juga tidak dapat dilakukan dengan baik kerana pembesar suara bawah skrin yang digunakan kurang memuaskan. Audio kurang jelas dan di dalam situasi yang bising mendengar apa yang dicakapkan oleh pemanggil menjadi sukar.

Terdapat sokongan audio Dolby Atmos tetapi hanya menerusi aksesori audio. Tiada bicu audio menyebabkan audio hanya boleh dinikmati menggunakan aksesori audio nirwayar atau menerusi penyesuai USB-C.

Audio adalah antara kekuatan Samsung. Kualiti audio adalah amat baik menggunakan fon telinga dengan bass yang kuat serta treble yang gemersik. Ini adalah sebab mengapa amat merugikan tiada sokongan audio stereo menerusi pembesar suara disertakan.

Penanda Aras

Galaxy A80 ialah peranti pertama yang menggunakan cip Snapdragon 730G yang direka khas untuk permua. Cip dan GPU pada Snapdragon 730G bergerak pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding Snapdragon 730G. Menerusi ujian penanda aras Geekbench 4, ia mencatatkan 2413 markah dalam ujian satu teras dan 6828 markah dalam ujian multi teras. Dalam ujian Antutu 3D pula, 187,778 markah berjaya dicatatkan.

Sedikit mengejutkan markah ini lebih rendah berbanding yang dicatatkan oleh Xiaomi Mi 9T yang menggunakan Snapdragon 730. Mi 9T mencatatkan 2530 markah untuk ujian satu teras Geekbench 4, 6760 untuk ujian multi teras dan 211.771 markah untuk ujian Antutu 3D. Harus diingatkan kesemua markah yang dicatatkan ini adalah sekadar ujian sintetik.

Dalam penggunaan dunia sebenar ia tiada masalah memainkan permua popular PUBG Mobile pada tetapan tinggi dengan lancar. Aplikasi lain yang tidak memerlukan kuasa yang grafik yang tinggi boleh dilancarkan dengan pantas. Masalah pemanasan juga tidak kami sedari. Pendek kata cip Snapragon 730G tidak mengecewakan sesuai dengan statusnya sebagai pemproses kelas pertengahan tinggi yang menggantikan tempat Snapdragon 710/712.

Bateri

Pada awalnya kami agak risau dengan bateri yang hanya sebesar 3700 mAh. Ia lebih kecil berbanding 41000 mAh pada Galaxy S10+ yang mempunyai skrin lebih kecil (6.4″ vs 6.7″). Kerisauan kami meleset kerana Galaxy A80 ialah peranti yang dapat bertahan sepanjang hari dengan sekali caj. Masa skrin terpasang terbaik dapat kami lihat ialah hampir 10 jam.

Dalam ujian video bateri mencecah 50% selepas YouTube distrim selama enam jam. Ini adalah prestasi yang mengagumkan bagi sebuah telefon pintar yang mempunyai skrin bersaiz gergasi. Proses pengecasan pula adalah baik tetapi bukan yang terpantas kami gunakan tahun ini. Bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa 80 minit menggunakan pengecas 25W.  Tiada sokongan pengecasan nirwayar atau mengecas peranti lain secara nirwayar. Ketiadaannya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana setakat ini hanya disertakan pada peranti kelas mercu sahaja.

Peranti Pesaing

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy A80 Xiaomi Mi 9T Huawei Nova 5
6.7″ SAMOLED FHD+, HDR10 (393 PPI) 6.39″ AMOLED FHD+ (403 PPI) 6.4″ Dynamic OLED FHD+, (403 PPI)
2.4 x 2 + 1.8 x 6 GHz Snapdragon 730G 2.2 x 2 + 1.8 x 6 GHz Snapdragon 730 2.27 x 2 + 1.88 x 6 GHz Kirin 810
Adreno 618 Adreno 618 Mali-G52 MP6
8 Gigabyte 6 Gigabyte 8 Gigabyte
128 Gigabyte 128 Gigabyte 128 Gigabyte (256GB NM Card)
Kamera Utama 48+8+TOF Megapixel. f/2.0+f/2.2+f/1.2, PDAF Kamera Utama 48+13+8 Megapixel. f/1.8+f/2.4+f/2.4, PDAF, Zum Optikal 2X Kamera Utama 48+16+2+TOF Megapixel, (f/1.8+f/2.2+f/2.4), PDAF
Kamera Hadapan 48+8+TOF Megapixel. f/2.0+f/2.2+f/1.2, PDAF Kamera Hadapan 20-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 32 Megapixel, f/2.0
Tidak Kalis Air Tidak Kalis Air Tidak Kalis Air
3700 mAh (Adapative Fast Charging 25W 4000 mAh (Quick Charge 18W) 3500 mAh (SuperCharge 40W)
RM 2499 RM 1399 RM 1689* (Ditukar dari mata wang asing)

Kesimpulan

Samsung Galaxy A80 adalah peranti yang mempunyai rekaan paling menarik perhatian tahun ini. Ketika menguji peranti, kami sering mendapat perhatian kerana mekanisme pop-putar yang cukup cool. Rekaan bingkai logam dengan kaca Gorilla Glass 6 menghasilkan sebuah peranti yang seksi.

Kekuatan Galaxy A80 juga terletak pada skrin New Infinity Display yang tidak bertakuk dan berlubang. Video YouTube dengan nisbah ultra-lebar boleh ditonton tanpa takuk mencacatkan pemandangan. Video terpapar tajam dengan sokongan HDR10. Menonton video pada skrin yang besar ini amat memuaskan.

Pemproses yang berkuasa dengan RAM yang tinggi memastikan permua dapat dijalankan dengan lancar. Banyak aplikasi dapat dilancarkan serentak tanpa pemuatan semula. Cip Snapdragon 730G ini juga tidak menyedut kuasa bateri dengan pantas. Peranti mampu bertahan sepanjang hari dengan SOT yang lama. Pengecasan 25W membuatkan proses mengisi semula bateri dapat dilakukan pada kadar yang pantas.

Tetapi kamera pop-putar yang digunakan memerlukan masa sebelum boleh digunakan. Hampir dua saat berlalu sebelum swafoto boleh diambil. Pengimbas cap jari bawah skrin juga mempunyai masalah yang serupa. Di dalam situasi seperti ini mungkin pengimbas sisi Galaxy S10e adalah pilihan lebih bijak. Ia juga tidak menyokong kad Mikro SD dan bicu audio 3.5mm.

Samsung Galaxy A80 dijual pada harga RM2499. Ini adalah tanda harga yang kurang kompetitif kerana Xiaomi Mi 9T dengan spesifikasi setanding dijual pada harga RM1399. Kedua-duanya dilengkapi kamera pop-naik dan pengimbas cap jari bawah skrin. Malahan di Malaysia Xiaomi Mi 9, dengan cip Snapdragon 855 pula ditawarkan pada harga RM1999 yang jauh lebih mampu milik.

Kami hanya boleh menyarankan Galaxy A80 bagi mereka yang benar-benar memerlukan peranti dengan kamera pop-putar yang unik, hayat bateri yang baik dan skrin gergasi untuk menonton video. Pada hemat kami lebih berbaloi membeli sebuah Galaxy S10e pada harga RM2699 yang hadir dengan pemproses lebih berkuasa, kamera yang lebih baik, kalis air IP68, menyokong pengecasan nirwayar, sokongan kad Mikro SD dan dilengkapi bicu audio.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan unik kamera pop-putar dengan kemasan logam premium yang selesa di dalam tangan.
  • One UI memudahkan penggunaan peranti walaupun peranti bersaiz besar.
  • Kuasa memproses kelas pertengahan yang baik untuk menjalankan pelbagai permua.
  • Tahap ketahanan bateri yang baik dengan sokongan pengecasan pantas 25W.
  • Paparan skrin yang cantik tanpa cela kerana tiadanya takuk atau lubang skrin.
  • Kualiti audio yang baik menerusi aksesori bluetooth.
  • Kamera pop-putar berfungsi agak perlahan.
  • Pengimbas cap jari yang yang juga perlahan.
  • Tiada sokongan kad mikro SD.
  • Tiada bicu audio.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd