Cari @ Amanz

HMD pada tahun ini dilihat agak aktif dalam menawarkan sejumlah peranti baru, tidak kira untuk segmen peranti bajet hingga ke segmen berkuasa. Mereka nampaknya sedang membangunkan peranti misteri, yang mana beberapa gambarnya telah tertiris ke arena web.

Melalui gambar yang dikongsikan oleh seorang pengguna di Weibo, binaan belakang peranti ini menampilkan bahagian kamera membulat, yang mana menyajikan tiga perletakkan sensor kamera bersama pencahayaan LED flash. Bahagian ini juga menampilkan binaan berasakan kaca, bersama pengimbas cap jari di bawah kamera.

Pada bahagian hadapan, ia menampilkan rekaan skrin bertakuk seumpama titisan air, bersama penjenamaan Nokia di bahagian bawah. Di bawahnya ia menyertakan sambungan berasaskan USB-C, bersama perletakkan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Ia turut dilihat dijana dengan Android 9.0 Pie dengan penggunaan cip pemprosesan daripada Qualcomm.

Peranti ini masih tidak diketahui sama ada bakal menjadi produk akhir atau hanya sekadar prototaip. Namun sekiranya ia berjaya menjadi produk untuk pengguna, peranti ini akan menjadi peranti Nokia-HMD kedua yang menyertakan keupayaan kamera 48MP.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd