Carian
Instagram Menggunakan Kecerdasan Buatan Bagi Membanteras Buli Atas Talian
July 9, 2019 Effi Saharudin

Media sosial sepatutnya digunakan untuk merapatkan jurang di antara manusia di atas talian. Idea asalnya ia menjadikan dunia lebih kecil dengan interaksi lebih mudah antara teman berjauhan. Tetapi salah satu masalah utama media sosial ialah pembulian atas talian. Komen menghina dan berbaur kebencian kerap dilihat di ruang komen kerana manusia lebih berani secara digital berbanding di dunia analog.

Bagi membanteras masalah pembulian atas talian, Instagram mengumumkan fungsi baharu yang diharap dapat menanganinya. Pertama sekali sistem kecerdasan buatan akan mengesan komen yang ditaip oleh pengguna. Sekiranya ia mengesan komen tersebut mungkin menyakitkan hati, aplikasi akan bertanya sama ada anda benar-benar ingin meninggalkannya pada ruangan komen. Menerusi ujian dalaman Instagram, sistem ini berjaya membuatkan pengguna berfikir dua kali.

Sistem kedua memberikan kuasa kepada pemilik akaun untuk menyaring akaun tertentu. Saringan ini mengehadkan komen yang ditinggalkan oleh akaun individu tertentu. Komen hanya dapat dilihat oleh pemilik akaun dan akaun yang disaring. Mereka masih boleh mengakses susur masa akaun tetapi komen tidak lagi dapat dilihat pengguna lain.

Dengan dua fungsi baharu ini diharap Instagram akan menjadi platform yang lebih bertamadun.

Komen