YTL Memperkenalkan Teknologi GigaWire Di Bandar George Town – Sambungan Internet 200-300Mbps Melalui Kabel Tembaga

YTL Memperkenalkan Teknologi GigaWire Di Bandar George Town – Sambungan Internet 200-300Mbps Melalui Kabel Tembaga

Diterbitkan pada July 9, 2019 oleh .

Beberapa bulan lalu, YTL melalui syarikat Yes telah memperkenalkan teknologi Terragraph, iaitu sambungan internet nirwayar yang menggabungkan infrastruktur jalan raya sedia ada seperti tiang lampu, elektrik dan juga trafik untuk merumahkan modul-modul rangkaian yang boleh menjanakan sambungan internet sepantas 130Mbps.

Terkini, di bandar yang sama, YTL dilihat memperkenalkan satu lagi teknologi internet menarik yang menggunakan infrastruktur sedia ada yang dinamakan Giga Wire. Ia membekalkan bangunan-bangunan yang sistem kabel tembaga (copper wire) dengan sambungan internet yang dikatakan boleh mencapai kelajuan dari 200 sehingga 300Mbps.

Menurut CEO YTL Communications, Wing K. Lee, dengan teknologi ini, sebanyak sejuta bangunan di seluruh Malaysia boleh mendapatkan kelajuan internet yang pantas ini tanpa perlu mengubah infrastruktur bangunan sedia ada.

Untuk bandar George Town, YTL menggabungkan sambungan internet daripada Terragraph, yang kemudiannya menggunakan penyebar Giga Wire untuk menghantar data melalui kabel tembaga tersebut ke bangunan-bangunan didalam kawasan tersebut.

Ujar Wing lagi, teknologi Gigawire ini sedang diuji di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, tetapi ia boleh dikatakan bahawa George Town merupakan bandar pertama yang memperlihatkan implementasi Giga Wire secara besar-besaran di seluruh dunia.

Malah, ia juga boleh dikatakan bahawa penggunaan teknologi Terragraph di Pulau Pinang juga merupakan implementasi terbesar teknologi internet Facebook tersebut di seluruh dunia, dimana ia menggunakan 472 node untuk menyambung pulau tersebut ke rangkaian internet.

Menurut YTL, perkhidmatan Terragraph dan juga Giga Wire ini akan kekal percuma sehingga bulan September ini, dimana ia akan keluar dari fasa ujian ke pemasaran. Buat masa ini pihak YTL masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai kemampuan perkhidmatan-perkhidmatan ini.


TIPS & ULASAN