10 Juta Pengguna Samsung Terpedaya Dengan Aplikasi Palsu ‘Updates for Samsung’

10 Juta Pengguna Samsung Terpedaya Dengan Aplikasi Palsu ‘Updates for Samsung’

Diterbitkan pada July 9, 2019 oleh .

Peminat-peminat gajet dan mereka yang kerap mengikut perkembangan gajet, pasti gemar akan kemaskini Android untuk peranti mereka. Ini kerana, kemaskini-kemaskini yang diedarkan oleh pengeluar peranti hadir dengan banyak perkara yang telah diperbaiki, pepijat yang dibuang dan prestasi yang ditambah baik. Sayang sekali, kemaskini-kemaskini ini hadir secara berperingkat dan membuatkan mereka yang tidak sabar – mencari jalan untuk mengemaskini dengan menggunakan aplikasi pihak ketiga.

Antara aplikasi yang popular adalah ‘Updates for Samsung – Android Update Versions’. Ia adalah aplikasi memuat turun firmware dari pihak ketiga yang penuh dengan iklan. Menurut laporan CSIS Security Group, aplikasi ini adalah sangat bahaya, kerana ia menipu para pengguna Samsung. Menurut mereka, sebanyak 10 Juta pengguna Samsung telah tertipu dengan aplikasi ini. Aplikasi ini menawarkan fail kemaskini untuk peranti Samsung. Akan tetapi, fail-fail ini diedarkan secara haram dan untuk memuat turun dengan pantas – pengguna perlu membayar kepada pembangun aplikasi sebanyak $34.99 (~RM145) setahun.

Bukan itu sahaja, aplikasi ini turut menggunakan sistem pembayaran tersendiri yang disyaki sangat tidak selamat. Sepatutnya, mana-mana aplikasi berbayar perlu menggunakan sistem pembayaran yang Google sediakan untuk pembayaran yang lebih selamat. Aplikasi ini turut menawarkan kemampuan menyahkunci peranti yang IMEInya telah dikunci oleh syarikat telekomunikasi dengan harga $19.99 (~83), yang mana turut disyaki adalah satu agenda penipuan daripada pembangun.

Agak pelik untuk aplikasi ini menerima skor empat bintang di Google Play Store. Kenapa perlu bayar ratusan ringgit hanya untuk mengemaskini peranti anda? Sedangkan ia boleh didapatkan secara percuma. Aplikasi ini sudah pun dibuang dari Google Play Store, kerana tidak mengikut polisi yang Google tetapkan. Apalah salahnya untuk menunggu sesuatu yang percuma?


TIPS & ULASAN