Qualcomm Mungkin Akan Hadir Dengan Cip 12nm Untuk Menambah Baik Jam Tangan Pintar

Qualcomm Mungkin Akan Hadir Dengan Cip 12nm Untuk Menambah Baik Jam Tangan Pintar

Diterbitkan pada July 10, 2019 oleh .

Qualcomm pada tahun lalu telah menawarkan Snapdragon Wear 3100 yang merupakan model penambah baikan kepada Snapdragon Wear 2100. Namun begitu, ia tidak membawa pembaharuan yang besar, sekaligus membuatkan pengeluar jam tangan pintar lebih berminat untuk menunggu keluaran cip yang seterusnya.

Menurut laman WinFuture, Qualcomm sedang membangunkan dua cip baru, menerusi Snapdragon Wear 429 dan Snapdragon Wear 2700. Pembangunan cip ini berasaskan Qualcomm Snapdragon 429 yang merupakan cip untuk telefon pintar berkuasa rendah. Namun apabila ia dioptimasikan untuk jam, ia akan memberi kelajuan yang lebih baik dan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

Cip Snapdragon 429 yang diolah untuk jam ini bakal dibangunkan dalam rekaan 12nm, menyertakan sokongan 64-bit, dan dikuasakan dengan cip empat-teras Cortex-A53. Sebagai perbandingan, Snapdragon Wear 3100 dibina berasaskan 28nm dan hanya menyertakan sokongan 32-bit.

Menurut laman tersebut lagi, jam tangan yang sedang diuji bersama cip pemprosesan ini dikatakan hadir dengan storan 8GB dan penggunaan memori 1GB RAM LPDDR3. Ia juga menyokong Bluetooth 5.0 dan bakal menyertakan pemproses kedua (co-processor) generasi baru untuk kebolehan penjejakan dalam mod tenaga rendah.

Dengan perubahan yang hadir, jam tangan pintar akan datang – khususnya Wear OS akan menerima manfaat dari segi kelajuan, ketahanan bateri yang lebih lama, dan meningkatkan pengeluaran jam tangan pintar Wear OS ini. WinFuture mengatakan ia baru sahaja diuji dan dijangka akan hadir kepada pengguna pada sekitar tahun hadapan.


TIPS & ULASAN