Disebalik Google Flood Forecasting Initiative – Meramalkan Bencana Banjir Menggunakan Kecerdasan Buatan

Disebalik Google Flood Forecasting Initiative – Meramalkan Bencana Banjir Menggunakan Kecerdasan Buatan

Diterbitkan pada July 10, 2019 oleh .

Tahun lepas Google telah melakukan ujian amaran bencana banjir di rantau Patna, India. Ujian tersebut memanfaatkan kecerdasan buatan yang meramalkan banjir, dan memberikan amaran kepada penduduk setempat menggunakan Google Public Alerts.

Pada hari ini menerusi acara Solve with AI dari Google, Sella Nevo yang merupakan pengurus kejuruteraan perisian berkongsi lebih lanjut mengenai kecerdasan buatan yang telahpun dinamakan sebagai Google Flood Forecasting Initiative.

Disebalik Google Flood Forecasting Initiative, Google akan meletakkan usaha yang agak besar bagi membantu mereka yang biasanya terkesan dengan bencana banjir. Usaha tersebut merangkumi data-data yang diambil mereka dalam resolusi yang tinggi, yang boleh membantu dalam melakukan simulasi banjir.

Melakukannya bukanlah sesuatu yang mudah. Sella berkongsi mengenai cabaran mendapatkan data. Bagi melakukan ramalan yang persis dan jitu, mereka perlu mendapatkan gambar topografi permukaan bumi yang berkualiti tinggi. Kebanyakan gambar-gambar yang tersedia sebelum ini adalah pada resolusi yang rendah, dan kecerdasan buatan tersebut tidak dapat mengetahui topografi sebenar sesuatu kawasan yang kerap dilanda banjir.

Cabaran yang kedua dalam pengumpulan data, adalah mukabentuk bumi yang sentiasa berubah. Jika dahulu ia mungkin sungai, kini sungai tersebut telahpun membentuk ladam kuda, dan mungkin merubah haluan air. Malah tanah terhakis juga boleh menjadi faktor kejadian banjir.

Kedua-dua cabaran ini dapat diatasi dengan gambar berkualiti tinggi namun begitu kosnya adalah mahal. Menerusi Stereographic Imagery, ia akan merakam gambar satu permukan yang sama dari dua satelit yang berbeza, dan dapat mengetahui ketinggian serta muka bumi yang berubah.

 

 

Oleh itu bagi mengatasi masalah ini, teknologi Multi-Asset Spatial Alignment digunakan. Ia tidak mengimbas permukaan yang sama, namun perkiraan dilakukan dari segi melihat pantulan cahaya dan juga geometri permukaan bumi yang diimbas. Dengan maklumat yang diperoleh, Google dapat menjana ‘Elevation Maps’ sekaligus membantu kecerdasan buatan ini.

Kesemua maklumat ini, dan juga ramalan mengenai bencana banjir kemudiannya akan diberikan kepada pengguna umum dengan pengaktifan mesej kecemasan menerusi Google Public Alerts. Untuk masa hadapan, Google berharap dapat bekerjasama dengan komuniti tempatan dalam memberikan amaran banjir dengan lebih pantas.

Buat masa ini, Google Flood Forecasting Initiative hanya tersedia untuk sungai Ganges dan Brahmaputra, dan akan diluaskan kepada seluruh negara India, sebelum dilakukan pada negara di seluruh dunia. Dengan inisiatif sebegini, secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah negeri tempatan yang juga kerap terkesan dengan bencana banjir apabila monsun melanda.


TIPS & ULASAN