Cari @ Amanz

iPad 9.7-inci merupakan model iPad paling berpatutan yang anda boleh dapat pada saat ini. Ia ditempatkan di bawah model iPad mini kerana ia menyajikan keupayaan kamera dan paparan yang lebih asas. iPad ini juga masih belum menerima sebarang penambah baikan dari segi perkakasannya, namun dijangka akan dikemaskini pada tahun ini.

Menurut laman UDN.com, Apple dilaporkan akan menaik taraf saiz iPad paling asas ini kepada saiz skrin sebesar 10.2-inci berbanding 9.7-inci pada sebelum ini. Penghasilannya akan dimulakan pada sekitar Julai ini, sekaligus menjangkakan jualannya akan hadir pada sekitar suku ke-empat tahun ini.

Apple telah memperkenalkan kembali iPad 9.7-inci pada tahun 2017 sebagai model iPad dengan penawaran paling asas. Pada tahun 2018, Apple telah menaik tarafnya dengan cip Apple A10 Fusion, selain menyertakan sokongan Apple Pencil untuk kebolehan lakaran. Pada saat ini, iPad 9.7-inci boleh didapati pada harga RM1447 (32GB) dan RM1834 (128GB) bagi model WiFi.

Walau bagaimanapun, laman tersebut tidak menyatakan sebarang fungsi dan spesifikasi yang akan hadir pada iPad 10.2-inci ini. Mengikut kemaskini iPad mini (2019) dan iPad Air (2019) pada Mac lalu, Apple tidak menggunakan Apple A11 Bionic untuk kedua-dua model ini, sebaliknya terus menjananya dengan cip pemprosesan iPhone terkini iaitu Apple A12 Bionic. Ia mungkin disebabkan penamatan jualan iPhone X pada tahun lalu, yang mana turut memberi kesan kepada pengeluaran cip Apple A11 Bionic.

Melalui pemerhatian ini, kita mungkin dapat melihat iPad 10.2-inci ini turut akan dijana dengan cip Apple A12 Bionic. Ia dibina berasaskan cip 7nm, sekaligus memberi manfaat kepada pengguna dengan penawaran yang lebih berkuasa dan penggunaan tenaga yang lebih efisien.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd