Microsoft Menamatkan Kesemua Permainan Internet Klasik Di Dalam Windows ME, XP, Dan 7

Microsoft Menamatkan Kesemua Permainan Internet Klasik Di Dalam Windows ME, XP, Dan 7

Diterbitkan pada July 10, 2019 oleh .

Microsoft pada sebelum ini telah menyertakan sejumlah permainan internet klasik di dalam sistem operasi Windows, sejak daripada perkenalan Windows ME pada tahun 2000. Namun pada Windows 10, Microsoft tidak lagi menyertakannya kerana pengguna boleh memuat-turun permainan secara berasingan pada halaman Microsoft Store.

Disebabkan itu, Microsoft pada hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan kesemua siri permainan internet klasik di dalam sistem operasi mereka yang terdahulu. Terdapat enam permainan yang terlibat iaitu Internet Backgammon, Internet Checkers, Internet Spades, Internet Hearts, Internet Reversi, dan MSN Go.

Sistem operasi Windows ME dan Windows XP akan menjadi yang terawal dalam penamatan permainan ini, yang mana bakal mengambil tempat pada 31 Julai 2019. Sementara bagi pengguna Windows 7, kesemua permainan internet klasik ini akan ditamatkan pada 22 Januari 2020.

Selepas daripada tarikh penamatan ini, kesemua siri permainan ini tidak dapat lagi dimainkan kerana sudah tidak mempunyai akses daripada Microsoft. Namun begitu, permainan luar talian seperti Solitaire, FreeCell, Hearts, Minesweeper, Pinball, Mahjong Titans, Chess Titans, dan Purble Place masih dapat dimainkan oleh pengguna seperti biasa.

Sebagai alternatif, Microsoft menyarankan kepada pengguna untuk menikmati teknologi terbaru daripada mereka, seperti menggunakan sistem operasi Windows 10. Melalui penggunaan Windows 10, pengguna boleh menikmati permainan internet ini menerusi Microsoft Solitaire Collection, yang mana boleh dimuat-turun secara percuma melalui Microsoft Store.


TIPS & ULASAN