Menurut ura-ura pada tahun ini, Samsung Galaxy A90 dijangka akan hadir dalam dua variasi iaitu 4G dan 5G. Kedua-duanya dilaporkan akan menyertakan cip Snapdragon 855 di dalammnya, dan kini, variasi 5G telah disahkan akan dijana dengan cip ini menerusi data yang dikeluarkan oleh Geekbench.
Samsung Galaxy A90 5G, yang membawa nombor model SM-A908N telah pun diuji Geekbench, sekaligus memperlihatkan beberapa info spesifikasi di dalamnya. Selain Snapdragon 855, ia bakal dikuasakan dengan memori 6GB RAM dan sistem operasi Android 9.0 Pie.
Walau bagaimanapun, bacaan Geekbench tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai skrin, bateri, dan keupayaan yang didatangkan. Melalui laporan sebelum ini, ia dijangka akan hadir dengan skrin 6.7-inci FHD+ berasaskan panel Super AMOLED. Ia juga dilaporkan akan hadir dengan keupayaan tri-kamera, namun tidak diketahui sama ada ia hadir dalam bentuk berputar atau ditempatkan pada bahagian belakang.
Buat masa ini, Samsung tidak mengumumkan sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran untuk peranti ini. Namun dengan janaan Snapdragon 855, peranti ini dapat menikmati penawaran yang berkuasa seperti mana yang ditawarkan pada siri Samsung Galaxy S dan Note.