Cari @ Amanz

Nintendo hari ini telah memperkenalkan konsol mudah-alih pada harga lebih rendah daripada mereka, iaitu Nintendo Switch Lite. Daripada namanya sendiri, Switch Lite merupakan variasi Switch dengan sejumlah ciri-ciri yang dihadkan, sekaligus menjadikannya berharga lebih rendah.

Nintendo Switch Lite

Nintendo Switch Lite hadir dengan fokus terhadap permainan mudah-alih sahaja, dan bukannya berbentuk hibrid. Ini bermakna, pengguna tidak boleh menyambungkannya pada kaca televisyen. Selain daripada itu, pengguna juga turut tidak boleh menanggalkan alat kawalan Joy-Con padanya seperti pada Switch asal.

Nintendo Switch Lite

Nintendo Switch Lite hadir dengan skrin 5.5-inci pada resolusi 720-pixel, storan 32GB, dilengkapi sokongan mikro-SD, bicu-audio 3.5mm, serta penggunaan USB-C untuk pengecasan. Ia juga mengekalkan penggunaan WiFi, selain sokongan NFC bersama dengannya. Nintendo mengatakan ia menggunakan sokongan cip pemprosesan yang lebih efisien, sekaligus menjadikan ia menawarkan penggunaan bateri lebih baik.

Switch Lite membolehkan anda memainkan semua permainan berbentuk mudah-alih. Nintendo Switch Lite bakal ditawarkan bermula September 2019 ini pada harga $199 iaitu sekitar RM823. Buat masa ini, tiada info yang diketahui berkenaan penawaran konsol mudah-alih ini untuk pasaran Malaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd