Cari @ Amanz

Microsoft Bakal Menamatkan Perkhidmatan Remix 3D Pada Januari 2020

Link Copied!

Pada dua tahun lalu, Microsoft telah menawarkan kemaskini Windows 10 Creators Update dengan fokus terhadap penggunaan kreatif seperti penghasilan imej 3D. Pada waktu itu, Microsoft telah menyertakan Paint 3D secara terbina, selain menawarkan perkhidmatan Remix 3D untuk memudahkan pengguna berkongsi hasilan 3D mereka.

Namun begitu, Microsoft dilihat akan menamatkan perkhidmatan ini pada 10 Januari 2020, melalui kod tersembunyi di dalam web Remix3D.com. Kod tersebut menyatakan sebuah mesej daripada Microsoft, yang mana mereka menyarankan kepada pengguna untuk memuat-turun kesemua model 3D yang dikongsikan sebelum menjelang tahun hadapan.

Microsoft dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada pemasaran Remix 3D, sekaligus membuatkan sejumlah besar pengguna tidak menyedari kehadiran perkhidmatan ini. Aplikasi Paint 3D juga dilihat tidak mampu mencapai populariti seperti Microsoft Paint atas kawalannya yang lebih kompleks.

Namun begitu, aplikasi Paint 3D dan 3D Builder masih ditawarkan pada Windows 10, jadi pengguna boleh memanfaatkan penghasilan imej 3D pada PowerPoint, Word, dan sebagainya. Namun bagi pengguna yang aktif menggunakan perkhidmatan Remix3D, anda disarankan untuk memuat-turun fail yang dihasilkan sebelum ia tidak diakses pada 10 Januari tahun hadapan.


Komen ()