iPhone X merupakan langkah awal daripada Apple untuk menawarkan rekaan skrin sepenuhnya pada iPhone. Walau bagaimanapun, rekaan ini mengundang kontroversi yang cukup hebat kerana ia mengganggu sebahagian paparan peranti. Berita baik yang menantikan iPhone dengan rekaan skrin sepenuhnya, Apple dilaporkan akan membuang rekaan takuk pada iPhone ini dalam tempoh 2 tahun akan datang.
Ming-Chi Kuo hari ini telah mengeluarkan hasil penyelidikan mereka melalui laman MyDrivers, yang mana melibatkan perkongsian mengenai rekaan iPhone akan datang. Pengalisa tersebut mengatakan, sekurang-kurang satu iPhone pada tahun 2020 akan hadir dengan rekaan kamera hadapan yang lebih kecil, bagi membolehkan ia memberi nisbah skrin-ke-bingkai yang lebih baik.
China Times juga turut melaporkan perkongsian yang dibuat oleh penganalisa daripada firma Credit Suisse, yang mana Apple akan melancarkan sekurang-kurangnya satu iPhone tanpa takuk atau Face ID pada tahun 2020. Penganalisa ini menyatakan iPhone akan datang bakal dilengkapi dengan kebolehan kamera di bawah skrin dan memanfaatkan fungsi pengimbas cap jari akustik. Fungsi biometrik ini dilaporkan akan berfungsi pada mana-mana bahagian skrin iPhone.
Kesemua laporan ini memberi petanda bahawa kesemua siri iPhone dengan rekaan skrin sepenuhnya mungkin sedia dijual pada tahun 2021. Laporan daripada China Times juga menyebut bahawa Apple sedang membina teknologi pengimbas cap jari bawah skrin secara sendiri, berbanding bergantung kepada pengeluar lain.
Kehadiran iPhone tanpa takuk ini adalah sesuatu yang dinanti-natikan kerana banyak pengeluar telah sedia menawarkan rekaan seperti ni. Pengeluar daripada China misalnya telah memperlihatkan beberapa konsep, seperti rekaan kamera pop-naik dan rekaan peranti yang boleh diturunkan ke bawah untuk menggunakan fungsi kamera hadapan.
Namun seperti biasa, Apple tidak mahu bergantung kepada rekaan yang kurang praktikal, seperti rekaan bermotor, yang mana dapat mengurangkan ketahanan fizikal pada peranti. Sebaliknya, mereka akan memanfaatkan teknologi kamera dan pengimbas cap jari di bawah skrin yang mana mungkin akan mencapai fasa matang sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi.