Carian
YouTube Memperkenalkan Learning Playlist Untuk Memudahkan Pembelajaran Subjek Dan Pelekat Berbayar Super Stickers
July 12, 2019 Effi Saharudin

Di acara VidCon, YouTube memperkenalkan beberapa fungsi baharu yang membuatkan ia menjadi platform yang lebih baik untuk menimba ilmu dan memudahkan pemilik saluran menjana pendapatan. Pertama sekali ciri Learning Playlist yang membolehkan pemilik saluran mencipta senarai main untuk memudahkan proses pembelajaran sesebuah subjek.

Senarai main ini akan membolehkan penonton mempelajari subjek kimia atau pengaturcaraan dengan lebih teratur. Pemilik saluran boleh memasukkan video yang berkaitan di dalam satu sub-topik yang kemudiannya dimasukkan pula ke dalam Learning Playlist. Ciri ini telahpun digunakan oleh saluran seperti Khan Academy, TED-Ed dan Crash Course.

Seterusnya ialah pelekat berbayar Super Stickers yang boleh digunakan ketika menonton penstriman di YouTube. Penonton boleh membeli pelekat beranimasi Super Stickers yang keuntungannya disalurkan kepada pemilik saluran bagi menjana pendapatan. Super Stickers akan ditawarkan dalam pelbagai rekaan mengikut genre permainan video, fesyen, makan, solekan dan banyak lagi.

Akhir sekali YouTube Giving akan akhirnya keluar dari ujian Beta. Ciri YouTube Giving memudahkan proses mengumpul derma untuk persatuan bukan untung dengan memaparkan butang di bawah video. Buat masa ini YouTube Giving hanya akan diaktifkan kepada pengguna di Amerika Utara sahaja dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

Komen