Carian
Spesifikasi Xiaomi Mi A3 Dan Mi A3 Lite Tertiris – Bakal Dijana Dengan Snapdragon 730 Dan 675
July 12, 2019 Arib Ismail

Siri peranti Android One daripada Xiaomi pada sebelum ini menggunakan spesifikasi dan rekaan daripada model Xiaomi Mi X. Namun pada tahun ini, Xiaomi dijangka akan hadir dengan Xiaomi Mi A3 dan Mi A3 Lite berdasarkan kepada penawaran Xiaomi CC9 dan Xiaomi CC9e, namun dengan spesifikasi yang lebih berkuasa.

Menurut laman Mysmartprice, Xiaomi Mi A3 dengan kod nama “bamboo_sprout” akan menggunakan Snapdragon 730, sementara Mi A3 Lite dengan kod nama “cosmos_sprout” akan dijana dengan Snapdragon 675. Berbeza dengan Xiaomi CC9 dan Xiaomi CC9e, masing-masing telah didatangkan dengan Snapdragon 710 dan Snapdragon 665.

Selain perubahan cip pemprosesan, Xiaomi Mi A3 Lite juga akan kekal menggunakan skrin FHD+, berbanding HD+ sahaja pada Xiaomi CC9. Penggunaan resolusi skrin ini adalah bersamaan dengan Xiaomi Mi A2 Lite yang juga menawarkan resolusi FHD+. Apa yang menarik lagi, kedua-dua siri Xiaomi Mi A3 dilaporkan akan membawa keupayaan tri-kamera pada bahagian belakang.

Walau bagaimanapun, Xiaomi tidak berkongsi sebarang tarikh pelancaran mengenai peranti Android One ini. Pada tahun lalu, Xiaomi telah memperkenalkan Xiaomi Mi A2 pada sekitar Jun, sekaligus menjangkakan ia bakal hadir pada sekitar suku ketiga tahun ini.

Komen