Model Asas MacBook Pro 13″ (2019) Dilihat 83% Lebih Pantas Berbanding Generasi Sebelumnya

Model Asas MacBook Pro 13″ (2019) Dilihat 83% Lebih Pantas Berbanding Generasi Sebelumnya

Diterbitkan pada July 12, 2019 oleh .

Pada awal minggu ini, Apple telah mengemaskini konfigurasi permulaan MacBook Pro 13-inci, dengan menyertakan kebolehan seperti Touch Bar, Touch ID, paparan True Tone, sokongan Apple T2, dan cip pemprosesan Intel generasi ke-lapan. Apa yang menarik, ia menerima peningkatan kelajuan sekitar 83% apabila dibandingkan dengan model pada generasi sebelumnya.

Melalui ujian penanda aras Geekbench 4, konfigurasi permulaan MacBook Pro dengan cip Intel Core i5 (Gen-8, empat-teras 1.4 GHz) kini menerima peningkatan sekitar 6.8% pada prestasi satu teras, dan peningkatan sebanyak 83.4% pada prestasi empat-teras. Peningkatan ini dibandingkan dengan model asas MacBook Pro 13″ (2017), yang mana ia telah dijana dengan cip Intel Core i5 7360U (Gen-7, dwi-teras 2.3 GHz).

Perbandingan Skor GeekBench Untuk Konfigurasi Permulaan MacBook Pro 13-Inci (2017 Dan 2019)
Satu-Teras (Purata)
Multi-Teras (Purata)
MacBook Pro
(13″, 2019, Dua Port Thunderbolt 3)
4,639
16,665
MacBook Pro
(13″, 2017, Dua Port Thunderbolt 3)
4,341
9,084

Apabila dibandingkan dalam bentuk skor satu teras dan empat-teras, model 2019 memperlihatkan skor sekitar 4,639 dan 16,665, sementara model 2017 mencatatkan skor sekitar 4,341 dan 9,084. Untuk makluman, ia dibandingkan dengan model 2017 kerana Apple tidak mengemaskini model asas MacBook Pro 13″ pada tahun 2018.

Konfigurasi permulaan MacBook Pro 13-inci (2019) telah didatangkan dengan Intel Core i5 8257U, iaitu variasi cip yang diolah daripada Intel Core i5 8250U. Cip 15W ini merupakan sebahagian daripada keluarga Coffee Lake dan mempunyai kebolehan Turbo Boost setinggi 3.9 GHz.

Dengan melihat kepada penanda aras ini, ia bertepatan dengan ayat pemasaran pada halaman rasmi Apple, yang mana mengatakan ia “dua kali lebih pantas” berbanding generasi sebelumnya. Di Malaysia, model asas MacBook Pro 13″ (2019) telah dijual bermula RM5,499 bagi konfigurasi Intel Core i5 8257U, 8GB RAM, dan storan SSD 128GB.


TIPS & ULASAN