Kawalan Gestur Baharu Android Q Beta 5 Tidak Boleh Digunakan Pada Pelancar Pihak Ketiga

Kawalan Gestur Baharu Android Q Beta 5 Tidak Boleh Digunakan Pada Pelancar Pihak Ketiga

Diterbitkan pada July 12, 2019 oleh .

Sistem Android asli pada peranti seperti Google Pixel atau custom ROM Pixel Experience adalah antara sistem operasi yang sangat menarik untuk digunakan. Ini kerana, ia menawarkan pengalaman perkhidmatan Google yang lebih baik dan prestasinya lebih lancar. Antara yang paling menarik adalah, tidak kira apa pelancar yang digunakan – kawalan gestur Android asli tetap boleh digunakan.

Terkini dalam Android Q Beta 5, Google telah memperkenalkan kawalan gestur baharu – yang mana adalah lebih imersif dan turut hadir bersama-sama dengan gestur menyeru Google Assistant yang lebih mudah. Cuma, ia hanya terhad kepada Pixel Launcher – iaitu pelancar terbina sahaja. Jika pelancar pihak ketiga digunakan, akan terdapat amaran pop-naik atau peranti akan terus lengah masa dan membeku seketika.

Android Q Beta 5 baru sahaja diedarkan sejak semalam. Walaupun Google telah menghentikan edaran kemaskini ini, hari ini ia kembali diedarkan kepada semua peranti yang disokong. Kawalan gestur baharu ini turut membaiki masalah membuka menu pada aplikasi yang masih menggunakan menu tatalan dari kiri. Selain itu, fungsi mendikit (throttle) Wi-Fi juga sudah boleh dimatikan untuk jangka hayat bateri yang lebih panjang.

Banyak juga penambahbaikan prestasi pada Android Q Beta 5, jika dibandingkan dengan Beta 4. Beberapa fungsi dan ciri yang tertiris  sebelum ini, yang sepatutnya berada dalam Android versi ini – dilihat tidak disertakan. Jika anda ingin mencubanya, pastikan anda menggunakan peranti Pixel dan mendaftar di laman Android Beta.

Daftar Peranti Pixel Anda Di Laman Android Beta


TIPS & ULASAN