Cari @ Amanz

Ulasan Innergie 65U – Padat Dari Segi Saiz Tetapi Tidak Dengan Fungsi

Link Copied!

Bulan lalu kami mengulas Innergie PowerGear 60C USB-C Laptop Adapter yang dipasarkan sebagai pengecas USB-C paling padat di pasaran. Ia adalah aksesori yang kami rasakan perlu bagi insan yang kerap berkelana dan ingin bebas dari perlu membawa pelbagai pengecas apabila keluar dari pejabat.

Harus diakui ini ialah aksesori yang kami mensasarkan golongan penulis seperti kami yang kerap ke luar negara. Dengan hanya membawa satu pengecas, komputer riba, powerbank, telefon pintar dan fon telinga nirwayar dapat dicas. Masalah ditahan pihak keselamatan di lapangan terbang kerana wayar berselirat di dalam beg kelihatan seperti bom dapat dielakkan.

Kini tiba giliran untuk mengulas Innergie 65U Laptop Adapter pula yang menyokong output pegecasan sehingga 645W. Adalah ia pilihan yang lebih bijak jika dibandingkan dengan PowerGear 60C USB-C Laptop Adapter? Ulasan ringkas di bawah akan cuba menjawab persoalan ini.

Rekaan

Innergie 65U Laptop Adapter
Input AC 100-240V / 1.6A 50-60 Hz
Output Kuasa Maksimum 60W
Jenis USB 1 X USB-C
Format Pengecasan 19.5V / 3.33A
Dimensi 30.4 x 30.4 x 60 mm
Berat 85 Gram
Kepala Pengecas 3X (Eropah, Asia dan USA)
Harga RM 224

Seperti kembarnya Powergear 60C, 65U mempunyai rekaan yang amat padat dengan isipadu 55 cc sahaja. Dimensi penuh pengecas ialah 6 X 3 X 3 centimeter sahaja tanpa kepala pengecas dan ini berpadanan dengan sebuah bateri sel kering bersaiz D. Innergie sekali lagi menggunakan slogan “pengecas komputer riba paling kecil di dunia” untuk memasarkan 65U. Ini slogan yang bertepatan sekali kerana kami tidak menemui lagi pengecas 65W yang mempunyai saiz lebih kecil berbanding 65U.

Selain pengecasan pada output lebih tinggi (65W vs 6oW), 65U juga tidak lagi menyokong output menggunakan port USB-C. Sebaliknya output dari tubuh pengecas adalah menggunakan lubang kabel sepaksi (coxial) betina yang biasanya digunakan pada sebuah AC Adapter. Ini membolehkan sebuah kabel sepaksi sepanjang 1.5 meter berkepala jantan saiz H yang disertakan disambung. Hujung kabel ini hadir dengan kepala khusus dari Innergie. Kepala khusus ini membolehkan enam jenis kepala kuasa (yang disertakan dengan pembelian) untuk empat pengeluar komputer riba utama di pasaran disambungkan.

Bagi memudahkan pengecasan ketika berkelana, tiga kepala soket disertakan iaitu palam 3 kepala yang digunakan di Malaysia (dan negara Komanwel), serampang dua mata Eropah dan serampang dua mata Amerika Syarikat. Tiga palam ini boleh disambung atau ditanggalkan dengan hanya memutarnya sebanyak 45 darjah. Dengan ini pengguna tidak perlu membawa penyesuai sarwajagat yang bersaiz agak besar.

Sekali lagi kabel pengecas yang disertakan berwarna kelabu dan tidak menggunakan tona warna putih yang sama seperti tubuh pengecas. Mengapa ini tidak dilakukan adalah misteri kerana secara kebiasaannya kabel dan pengecas menggunakan warna yang sama.

Perbezaan saiz pengecas padat ini dapat anda lihat di bawah. Ia jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan pengecas USB-C 61/87W Apple, pengecas komputer riba standard dan pengecas Huawei SuperCharge 40W.

Pengecasan Dan Penggunaan

Kerana hanya kabel sepaksi disertakan dan enam kepala pengecas komputer riba disertakan, pengecas ini tidak mempunyai banyak fungsi tambahan jika dibandingkan dengan PowerGear 60C. Kepala yang disertakan hanya untuk komputer riba Asus, Acer, HP, Dell dan Lenovo. Innergie menawarkan program kepala pengecas percuma sekiranya kepala pengecas yang disertakan tidak boleh digunakan pada komputer riba pembeli.

Pengalaman kami menggunakan pengecas ini adalah baik tetapi ia cepat menjadi panas. Permukaan badan pengecas menjadi terlalu panas untuk dipegang. Tiada masalah mengecas komputer-komputer riba di pejabat kecuali MacBook kerana kepala USB-C tidak disertakan. Jika anda pengguna MacBook, penyesuai USB-C Charging Connector dijual pada harga RM69 dan ini kami rasakan harga jualan yang agak mahal.

Output kuasa menerusi USB-C Charging Connector ini dihadkan sehingga 60W sahaja menyebabkan kuasa penuh 65U tidak digunakan sepenuhnya. Pada waktu yang sama, apabila penyesuai ini dipasang pada penghujung kabel, anda masih boleh menyambung kepala pengecas komputer riba yang disertakan. Penyesuai ini sebenarnya dihasilkan untuk pengguna yang ingin mengecas komputer riba dan peranti USB-C secara serentak.

Seperti pada PowerGear 60C, format pengecas yang memenuhi piawai USB-PD sahaja disokong. Dengan kata lain mengecas dengan pantas peranti Samsung, Pixel dan Xiaomi boleh dilakukan. Tetapi pengecasan pantas piawaian Oppo VOOC, Huawei SuperCharge dan OnePlus Warp tidak boleh dilakukan oleh 65C.

Kami cuba mengecas komputer riba Acer Spin 5 dengan NVIDIA GeForce GTX 1050 di tempat kerja dan tiada amaran mengenai pengecasan perlahan dipaparkan. Ini adalah agak menarik kerana komputer riba ini sebenarnya memerlukan pengecas 90W.

Tetapi apabila kami cuba mengecas sebuah MacBook Pro 15″ 2018 dengan grafik Radeon Pro 560X, Ia hanya sekadar mampu mengekalkan tahap bateri ketika digunakan. Bateri hanya boleh dicas sekiranya kad grafik tidak digunakan. Kekurangan ini adalah kerana keperluan pengecas dengan output kuasa lebih 87w diperlukan oleh MacBook. Pengecasan bateri masih boleh dilakukan jika kedua-dua komputer riba diletakkan dalam mod tidur.

Kesimpulan

Adakah Innergie 65U berbaloi untuk dimiliki? Pada pendapat kami mungkin tidak kerana penggunaannya yang kurang mesra pelbagai peranti jika dibandingkan dengan PowerGear 60C. Penggunaan output DC kabel sepaksi yang digunakan membuatkan proses gantian kabel di masa hadapan menjadi lebih sukar. Kepala pengecas juga menggunakan sambungan proprietary Innergie. Untuk menikmati pengecasan USB-C, anda perlu membeli penyesuai tambahan yang menambah kos RM69 kepada harga pembelian.

Innergie 65U dijual pada harga RM224 sebuah pada waktu ini berbanding Innergie PowereGear 60C yang dijual pada harga RM273. Lebih baik untuk berbelanja lebih sedikit untuk pengecas dengan output USB-C kerana ia boleh digunakan pada lebih banyak peranti tanpa pembelian penyesuai tambahan. Perbezaan 5W output kuasa bukan kelebihan yang membuatkan ia lebih berbaloi dimiliki. Jika anda sedang mencari sebuah pengecas komputer riba padat untuk menjimatkan ruang simpanan beg ketika berkelanana, kami merasakan Innergie PowerGear 60C adalah produk yang lebih berbaloi.

Kelebihan Kekurangan
  • Saiz yang amat padat. Lebih kecil berbanding sebuah bateri bersaiz D. Menjimatkan ruang simpanan dalam beg.
  • Pilihan 3 kepala palam untuk pasaran Eropah, US dan Asia.
  • Kabel untuk pengecasan PC hadir dengan enam kepala. Pilihan memesan penyesuai untuk pelbagai model pengecas PC yang lain.
  • Binaan yang baik dan tahan lasak.
  • Terdapat pilihan penyesuai untuk output menerusi USB-C sekiranya diperlukan.
  • Warna kabel pengecas berbeza dengan warna tubuh pengecas.
  • Tidak boleh mengecas komputer riba dengan kad grafik diskrit ketika ia digunakan.
  • Menjadi amat panas apabila mengecas pada output maksimum.
  • Penggunaan yang terhad hanya untuk komputer riba sahaja tanpa penyesuai kerana penggunaan kabel dengan kepala propietry yang sukar untuk diganti.

Komen ()