Cari @ Amanz

Percubaan Google dalam arena media sosial sering kurang bernasib baik, seperti mana yang menimpa pada Google+, Google Buzz, dan Google Friend Connect. Namun ia tidak membuatkan Google untuk terus berputus asa, dengan menawarkan perkhidmatan media sosial baru menerusi ‘Shoelace‘.

Google membina Shoelace bagi memudahkan pengguna menguruskan sesuatu acara, seumpama yang ditawarkan pada Facebook Events. Menurut Android Police, Shoelace boleh katakan percubaan kedua Google selepas Schemer, yang juga menawarkan perkhidmatan yang serupa. Schemer telah dilancarkan pada tahun 2011, namun akhirnya ditamatkan pada tahun 2014.

Berbeza dengan Facebook dan Google+, Shoelace lebih memfokuskan kepada kegunaan skala kecil, terutama pada lokasi tumpuan pada sesebuah kawasan. Ia membolehkan pengguna mengurus dan mengadakan sesuatu acara, dan mengajak seseorang individu untuk ke acara tersebut.

Shoelace pada saat ini hanya boleh diuji secara tertutup oleh sejumlah pengguna di New York. Namun sekiranya ia berjaya, ia mungkin akan diperkenalkan kepada lebih banyak lokasi dan pastinya dapat memanfaatkan pengguna lain mengadakan sesuatu acara.

Buat masa ini, Shoelace tidak ditawarkan dalam versi web, namun boleh dimuat-turun pada peranti yang menjalankan Android 8.0 atau iOS 11 dan ke atas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd