Cari @ Amanz

Xiaomi Mi Band adalah gelang pintar untuk menjejak kesihatan yang agak popular. Ia mula dilancarkan pada tahun 2014, yang mana pada ketika itu ia hanyalah ibarat seketul biji besi dengan tiga lampu LED berbeza dan tidak mempunyai pengimbas nadi. Pada tahun 2015, Xiaomi memperkenalkan Mi Band 1S iaitu yang pertama dalam keluarga Mi Band yang mempunyai pengimbas nadi – tetapi hanya satu warna LED.

Tahun demi tahun, Xiaomi berkembang maju dengan memperkenalkan Mi Band 2 – iaitu penjejak kesihatan yang murah dan juga mempunyai skrin OLED berwarna hitam dan putih. Ia bukan sahaja mempunyai skrin, tetapi turut mempunyai butang untuk mengawal. Kini, tahun 2019 Xiaomi telah melancarkan Mi Band 4 dan ia adalah antara yang terbaik yang pernah Xiaomi hasilkan. Ini adalah ulasan kami untuk Mi Band 4.

Mi Smart Band 4
Skrin 0.95” AMOLED 120 x 240
Pemproses mungkin Huami No. 1
Memori 512KB RAM + 16MB Storan
Sistem Operasi tersendiri
Perlindungan 5 ATM
Bateri 135mAh
Sensor 3-paksi akselerometerv+ 3-paksi giroskop, pengimbas nadi
PPG, sensor proksimiti kapasitif
Lain-Lain NFC Untuk Pembayaran & GPS
Pengecasan Sambungan 2 Pin Pogo Pada Dermaga Khas
Ketahanan Bateri Lebih dua minggu
Harga RMB169 (Peniaga Tempatan Tawar Pada RM109 – RM159)

Skrin

Mi Band 4 atau kini Xiaomi menggelarnya sebagai Mi Smart Band 4 masih menggunakan rekaan Mi Band 3, cuma saiznya adalah lebih besar – iaitu 0.95-inci dan bukan lagi 0.78-inci. Panel skrin pula sudah dinaiktaraf kepada AMOLED berwarna dan bukan lagi OLED hitam dan putih. Resolusi adalah 120 x 240 pixel dan mempunyai kecerahan maksima sehingga 400 nits. Kecerahan untuk paparan turut boleh dilaras secara terus pada Mi Band 4 itu sendiri. Apa yang menjadikan skrin Mi Band 4 ini menarik adalah, ia turut menyokong sentuhan dan tidak terhad pada satu butang sahaja. Skrin boleh digunakan untuk mengawal fungsi-fungsi pada jam, seperti menukar muka jam, mengaktifkan mod sukan, semak cuaca dan banyak lagi.

Di bahagian skrin, sudah tiada lagi lekuk yang berfungsi sebagai butang home. Ia kini lebih kemas dan rata dan butangnya berada di bawah skrin dan boleh digunakan untuk kembali dan juga sebagai butang menghidupkan skrin. Sentuhan pada skrin adalah lancar dan tidak ada masalah walaupun jari basah.

Skrin Mi Band 4 dilindungi dengan kaca 2.5D dan turut mempunyai lapisan anti-cap jari. Warna skrin agak terang dan tajam. Kecerahan yang mencukupi untuk kegunaan di dalam atau diluar dan tidak kira juga keadaan cahayanya bagaimana, terang atau gelap. Ia amat mudah digunakan dan selesa sahaja mata untuk memandang. Cuma apabila dalam gelap, perlu tetapkan kecerahan skrin pada tahap paling rendah – kerana tahap yang tengah dan keatas adalah terlampau terang.

Skor untuk skrin adalah 8/10.

Fungsi

Seperti Mi Band yang lain, ia masih lagi sejenis penjejak kesihatan. Jadi fungsi asas masih dikekalkan, seperti pengimbas nadi, pedometer untuk menjejak tapak atau juga pemantauan tidur. Xiaomi telah menambah satu fungsi menarik, iaitu mod berenang – yang mana pengguna boleh aktifkannya sebelum mula berenang untuk melihat status kesihatan sebaik sahaja berenang tamat. Sistem renang yang digunakan adalah SWOLF.

Antaramuka pada Mi Band 4 dilihat sedikit mirip dengan Amazfit Bip, yang mana ia semua tersusun dengan kemas. Misalnya dalam bahagian ‘Status‘ akan terpapar jumlah tapak, jumlah jarak, jumlah kalori terbakar dan jumlah amaran yang diberi kerana tidak bergerak. Kemudian adalah ‘Heart Rate‘, dari nama kita sudah tahu fungsinya. Cuma dalam Mi Band 4 ia jauh lebih pantas dari biasa.

Turut terbina adalah bahagian bersukan yang mana Xiaomi mengumpulkan banyak aktiviti untuk dilakukan. Versi Mi Band lama, aktiviti perlu ditetapkan dari dalam aplikasi. Cuaca juga turut terbina beserta dengan lokasi. Lokasi adalah melalui GPS dari dalam peranti pengguna. Tetapan pula kini banyak boleh diubahsuai secara terus dari Mi Band 4. Contohnya adalah Do Not Disturb, mensenyapkan peranti, mematikan penggera, tetapan asas AliPay, tetapan kecerahan atau juga kemampuan format Mi band 4.

Perkara paling menarik dalam Mi Band 4 adalah, ia kini boleh mengawal muzik yang dimainkan pada peranti. Kawalan yang boleh dibuat adalah kembali, seterusnya, jeda, main dan juga melaras aras suara. Disebabkan Mi Band 4 menggunakan Bluetooth 5.0, kawalan muzik pada peranti yang menggunakan Bluetooth 4.2 dan ke bawah seperti iPhone 7 Plus – hanya boleh digunakan jika skrin peranti dihidupkan. Ini bermakna, kawalan muzik akan tergendala jika peranti dikunci atau skrin tidak menyala.

Fungsi baru lain adalah pembayaran nirtunai AliPay, kini boleh dibuat pada versi global. Jika pengguna mempunyai akaun AliPay, ia boleh paparkan kod QR dan kod bar untuk membuat pembayaran.

Skor untuk fungsi adalah 8/10.

Notifikasi

Pemberian notifikasi pada gelang pintar ini adalah lebih baik. Ia kini memapakan notifikasi dengan lebih jelas. Contohnya, jika 1 SMS diterima, ia bole dibaca sepenuhnya dengan jelas dengan kawala tatalan bawah ke atas. Akan tetapi jika banyak WhatsApp diterima ia akan paparkan dalam bentuk ‘2 messages from 2 chats‘. Sedikit kecewa kerana masoh belum boleh membalas mesej. Lain-lain notifikasi turut bpleh ditambat, seperti waktu solat, kalendar dan banyak lagi – cuma ia perlu ditetapkan dari dalam aplikasi Mi Fit.

Disebabkan Mi Band 4 model asas tiada NFC dan mikrofon, jadi ia tidak boleh digunakan untuk menyeru Xiao AI atau pembayaran nirtunai secara NFC. Akan tetapi, notifikasi panggilan masih lagi boleh diterima dan boleh terus dimatikan atau mensenyapkan bunyi nada dering melalui Mi Band 4. Lain-lain notifikasi adalah sama sahaja, seperti penggera dan peringatan untuk mula bersukan.

Motor getaran adalah lebih kurang sahaja dengan Mi band 3, cuma corak getaran kini boleh diubah mengikut cita rasa pengguna.

Skor untuk notifikasi adalah 6/10.

Aplikasi

Mi Band 4 masih perlu menggunakan aplikasi Mi Fit. Yang mana jika anda membeli set China, ia akan terus berubah menjadi bahasa Inggeris. Aplikasi Mi Fit juga dilihat sudah dikemaskini dan kini menjadi lebih kemas dan mudah digunakan. Turut terdapat fungsi untuk berlari, tetatpi seperti biasa GPS adalah dari peranti pengguna.

Antaramuka Mi Fit kini lebih menggunakan rekaan cards yang kerap kita lihat dalam aplikasi Google atau iOS.

Muka Jam

Mi Band 4 turut menyokong penukaran muka jam. Yang mana bukan terhad yang terbina di dalam Mi Band itu sendiri. Tetapi dalam aplikasi Mi Fit, banyak muka jam yan boleh dimuat turun. Jika anda seorang pengguna yang rajin, ia turut boleh sideload muka jam dengan formar fail .bin dari forum-forum.

Konsep Mi Smart Band 4 ini lebih kepada Amazfit Bip yang diringankan lagi.

Skor bagi aplikasi adalah 9/10.

Bateri

Menurut Xiaomi, ketahanan Mi Band 4 adalah sehingga 20 hari. Tetapi ia hanya boleh dicapai mengikut cara penggunaan yang sangat minimal. Saya telah gunakan sejak 28 Jun 2019, dan saya mula gunakan dari bateri 80% (keluar dari kotak) dan baru sahaja cas pada semalam. Tetapan yang saya lakukan adalah, kecerahan yang berubah-ubah – tetapi kebanyakannya adalah kecerahan paling tinggi. Kemudian, saya hanya aktifkan notifikasi untuk WhatsApp sejak minggu lepas.

Untuk skrin berwarna dan penggunaan notifikasi yang lebih satu minggu, sekitar dua minggu jangka hayat bateri adalah memuaskan. Masa pengecasan pula adalah bawah 2 jam, ya sedikit lama walaupun saiz bateri adalah 135mAh. Pengecas yang digunakan adalah jenis dermaga dengan 2 Pogo Pin, yang mana kini perlu meletakkan Mi Band 4 secara mendatar dan tidak lagi secara menegak.

Disebabkan bateri memuaskan, jadi skor adalah 11/10.

Rekaan

Seperti yang saya sebutkan dalam perenngan awal, rekaan adalah daripada Mi Band 3 lagi – cuma saiz skrin adalah lebih besar. Kerangka Mi Smart Band 4 ini diperbuat daripada plastik jenis polikarbonat dan tali jam pula adalah dari bahan termoplastik polyurethane. Lebar tali jam adalah 18mm dan panjang tali jam boleh dilaras dari 155mm sehingga 216mm.

This slideshow requires JavaScript.

Disebabkan ia menggunakan rekaan Mi Band 3, tali jam Mi Smart Band 4 adalah saiz yang sama. Menarik pada bahagian skrin adalah ia lebih rata dan tiada lagi butang yang lekuk. Rekaan yang kemas, kecil dan rekaan sisi yang lebih memudahkan buka dan pasang tali jam. Di bahagian bawah terdiamnya sensor pengimbas nadi dan juga dua pin Pogo untuk pengecasan.

Rekaan masih lebih kurang sama sejak Mi Band 1, 5/10 sudah mencukupi.

Harga

Mi Band 4 masih belum dijual di Malaysia secara rasmi. Tetapi di China ia dijual pada harga rasmi RMB169. Jika matawang ditukar secara terus, harganya adalah sekitar RM101. Namun penjual di Malaysia dilihat menjual dengan tanda harga sekitar RM109 sehingga RM159, mengikut waranti ataupun bersama dengan berkas-berkas aksesori.

Sehingga hari ini masih menawarkan harga yang berbaloi, 11/10.

Konklusi

Tidak hairan kenapa ia mampu menarik minat orang ramai. Saiz yang kecil, padat dengan fungsi dan kekal harga murah. Ia juga menyokong mana-mana peranti Android 4.4 Kitkat ke atas dan peranti iOS 9.0 dan ke atas. Mi Smart Band 4 kini adalah lebih berbaloi dari sebelumnya.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin AMOLED yang berwarna dan terang.
  • Saiz skrin yang lebih besar, tetapi kekal saiz Mi Band 3.
  • Lebih banyak fungsi dan ciri menarik dari Mi Band 3.
  • Jangka hayat bateri yang menakjubkan.
  • Pengecas dermaga khusus masih digunakan.
  • Perlu mencabut Mi Band dari tali jam untuk mengecas.
  • Kawalan muzik hanya lancar pada peranti dengan Bluetooth 5.0
  • Tiada GPS.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd