Samsung Mempatenkan Rekaan Skrin Yang Boleh Diperluaskan

Samsung Mempatenkan Rekaan Skrin Yang Boleh Diperluaskan

Diterbitkan pada July 15, 2019 oleh .

Samsung pada sebelum ini telah mengumumkan Galaxy Fold dengan membawakan rekaan peranti yang boleh dilipat. Namun peranti ini mengalami sedikit isu dari rekaan, yang mengakibatkan komponen seperti skrin mudah untuk menerima kerosakan. Dalam membina peranti yang lebih praktikal, Samsung telah hadir dengan rekaan yang boleh diperluaskan melalui paten terbaru yang tertiris.

LetGoDigital telah berkongsi mengenai beberapa maklumat mengenai rekaan skrin yang boleh dikembangkan ini. Menurut mereka, skrin peranti ini boleh diperluaskan dengan hanya menarik bahagian skrin pada bahagian kanan peranti. Ia mungkin akan menggunakan teknik paparan yang boleh digulung bagi membolehkan ia mencapai rekaan seperti ini. Secara kasarnya, rekaan seperti ini dilihat lebih selamat untuk digunakan kerana skrin disimpan melalui bahagian dalam peranti.

Paten ini juga memperlihatkan bahagian kamera di bahagian belakang, yang ditempatkan pada lokasi di atas kanan peranti. Ia diposisikan secara melintang bagi memberi laluan kepada perletakkan sejumlah komponen yang berkaitan dengan paparan. Ia dilihat menyertakan kebolehan tri-kamera, jadi mungkin ia akan menawarkan penggambaran lebar biasa, ultralebar, dan telefoto seumpama siri Samsung Galaxy S dan Note.

Walau bagaimanapun, LetGoDigital tidak menyatakan model apakah yang akan menggunakan rekaan seperti ini. Ada yang mengatakan ia akan digunakan pada Samsung Galaxy S11, namun ia terlalu awal untuk menggunakan rekaan seperti ini. Tetapi sekiranya ia menjadi realiti, kita mungkin dapat melihat rekaan peranti yang lebih praktikal berbanding rekaan peranti boleh lipat pada hari ini.


TIPS & ULASAN