Insiden tidur mikro yang berlaku ketika sedang memandu dipercayai menyebabkan ribuan kematian di Amerika Syarikat. Pemandu tidak menyedari mereka telelap sehingga 30 saat. Kebarangkalian ini berlaku meningkat apabila memandu seorang diri pada waktu malam. Jaguar Land Rover (JLR) telah membangunkan sistem kecerdasan buatan yang mengimbas wajah pemandu bagi memastikan mereka tidak bosan atau mengantuk.
Menerusi kamera yang dipasang pada kabin pemandu, kecerdasan buatan boleh mengesan sama ada pemandu bosan atau hampir terlelap. Ia kemudian akan meningkatkan kekuatan sistem audio, memilih senarai lagu kegemaran atau meningkatkan keterangan lampu di dalam kereta. Suhu kabin juga boleh ditingkatkan jika ia mengesan pemandu sedang kesejukan. JLR berharap sistem automasi seperti ini bergerak selari dengan sistem swapandu yang digunakan.
Bukan hanya sistem swapandu berfungsi automatik tetapi juga sistem kawalan kabin kenderaan. Tambahan lagi di masa hadapan sistem yang sama boleh mengesan penumpang sudah terlelap dan menggelapkan cermin belakang dan mengurangkan suhu.