Honor adalah sub-jenama Huawei yang produk-produknya dijual lebih murah dari Huawei. Mereka bukan sahaja menjual telefon pintar, tetapi turut menjual peranti boleh pakai dan juga komputer riba. Terkini, pengerusi Honor – Zhao Ming menyatakan yang Honor akan hadir dengan televisyen pintar tersendiri.
Televisyen pintar yang Honor ingin keluarkan bukannya televisyen pintar yang biasa kita lihat berada di pasaran. Tetapi hasrat Honor adalah untuk hadir dengan televisyen pintar yang lebih berinovasi. Honor menggelar televisyen yang mereka bakal keluarkan sebagai ‘TV Dengan Skrin Pintar’. Honor akan bekerjasama dengan JingDong (syarikat membeli-belah atas talian China) untuk evolusi baharu dalam arena televisyen.
Honor TV (bukan nama rasmi) adalah gabungan televisyen pintar dan televisyen Internet, yang mana merupakan masa depan untuk sesebuah televisyen. Dengan hanya satu televisyen, ia mampu mengawal mana-mana peranti berhubung untuk rumah pintar, menduakan skrin telefon atau juga bertindak sebagai pusat informasi semua dalam satu yang turut menggabungkan pusat media.
Berdasarkan gambar acah yang Honor terbitkan di Internet, televisyen mereka ini mungkin akan hadir sekitar tahun ini. Dengan kehadiran Honor TV, jika ia dijual pada harga yang berpatutan dan padat dengan fungsi dan ciri – Honor mungkin akan menjadi pesaing baharu Xiaomi untuk pasaran televisyen.